Home Buletin Semasa PENUNGGANG MAUT, MOTOSIKAL HILANG KAWALAN LANGGAR POKOK SAWIT

PENUNGGANG MAUT, MOTOSIKAL HILANG KAWALAN LANGGAR POKOK SAWIT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok sawit dalam kejadian di sebuah ladang sawit di Chiku 01, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 38 tahun menunggang motosikal jenis Honda bersama seorang pembonceng lelaki berusia 38 tahun dari Ladang Sawit Chiku 01 menuju pulang ke rumah di Kampung Chiku 01.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan SIK Choon Foo berkata, sebaik tiba di lokasi, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok sawit di sebelah kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chiku 03 untuk menerima rawatan awal.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan, manakala pembonceng tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Katanya, pihak polis menerima makluman mengenai kejadian daripada anggota Balai Polis Paloh pada kira-kira jam 5.55 petang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here