Oleh: Wartawan IMedikel TV
Kota Tinggi : Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung titah baginda mengenai pengurusan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertemuan yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat itu, sudah pastinya menumpukan ke arah kebaikan Kementerian.

“Ya, saya akan menghadap (PSJ) dalam waktu terdekat ini.
“Saya percaya kenyataan dan titah itu perlu kita beri gambaran yang jelas dan mungkin kita boleh sama-sama perbaiki keadaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Barisan Nasional Kota Tinggi di sini, malam tadi.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail bertitah, semua pihak yang terbabit dalam merancang Rejimen Gerak Khas (RGK) diingatkan supaya tidak mengubah keputusan yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim demi kepentingan pihak tertentu.
Titahnya, perancangan dan pembangunan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Kolonal Komandan RGK serta dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab demi keselamatan negara.
Baginda turut menyatakan teguran berhubung perkara berkaitan pengurusan di MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tunku Mahkota Ismail bertitah, pucuk kepimpinan MINDEF, ATM dan Tentera Darat Malaysia mempunyai tanggungjawab memastikan keperluan RGK dari segi kelengkapan, persenjataan, mobiliti, teknologi, sistem sokongan serta aset operasi berada pada tahap terbaik.
Baginda bertitah, keperluan itu semakin penting memandangkan landskap keselamatan kini jauh lebih kompleks dan sukar diramal susulan perubahan geopolitik Indo-Pasifik, perkembangan di Laut China Selatan serta persaingan kuasa-kuasa besar.
IMedikel TV






