Home Sukan D’BEATS CREW KEKAL JUARA AERODANCE, SASAR PERTAHAN JUARA KEBANGSAAN

D’BEATS CREW KEKAL JUARA AERODANCE, SASAR PERTAHAN JUARA KEBANGSAAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kelantan sekali lagi mengintai peluang mempertahankan kejuaraan di peringkat kebangsaan selepas kumpulan D’Beats Crew muncul juara Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Negeri Kelantan 2026, yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, di sini semalam.

Sebanyak 11 kumpulan menyertai pertandingan anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan dengan kerjasama Kelab Aerodance Dinamik itu, sebelum satu kumpulan dipilih untuk membawa cabaran negeri ke peringkat kebangsaan pada November ini.

Pengarah JBS Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria, berkata persaingan tahun ini lebih mencabar berikutan peningkatan ketara prestasi kumpulan yang bertanding.

Katanya, kejayaan Kelantan muncul juara pada tahun lalu turut meletakkan sasaran tinggi kepada pasukan yang bakal membawa cabaran negeri kali ini.

“Sudah pasti apabila kita telah menjadi juara, kita nak pertahankan kejuaraan memang agak mencabar.

“Bagaimanapun, berdasarkan prestasi yang kita lihat hari ini, terdapat banyak peningkatan antara kumpulan yang bertanding dan dari segi markah juga perbezaannya amat ketara berbanding tahun lepas,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu.

Beliau berkata, JBS Kelantan yakin pasukan yang dipilih mampu memberikan saingan terbaik di peringkat kebangsaan dan berusaha mengekalkan kejuaraan negeri.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Delima merangkap Pengurus Pasukan D’Beats Crew, Norahaimah Muhammad, menyifatkan kejayaan menjuarai pertandingan itu untuk kali kedua berturut-turut sebagai pencapaian membanggakan.

Katanya, kejayaan berkenaan membolehkan D’Beats Crew sekali lagi mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan.

“Saya sangat teruja dan gembira kerana kami kali kedua memenangi peringkat negeri dan insya-Allah akan kali kedua juga ke peringkat kebangsaan.

“Kita mengharapkan kejayaan juga di peringkat kebangsaan,” katanya.

Bagi jurulatih D’Beats Crew, Nash Nizar, persiapan pasukan selepas ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan asas, keseragaman rutin serta penambahbaikan corak persembahan bagi menghadapi saingan kebangsaan.

Katanya, cabaran utama adalah memastikan latihan dapat disusun sebaik mungkin kerana semua anggota pasukan masih bersekolah.

“Kalau sebelum ini, tahun lepas, kami berlatih setiap hari selepas kelas. Jadi mereka akan kekalkan dari segi latihan asas terlebih dahulu, terutama kesamaan rutin, kemudian kami akan improvise semula dari segi pola.

“Mungkin pola yang dilihat hari ini akan berubah di peringkat kebangsaan. Kami juga akan melihat semula dari segi pemakaian supaya persembahan di peringkat kebangsaan lebih menarik,” katanya.

Nash berkata, beliau yakin pasukan itu mampu mengulangi kejayaan tahun lalu selepas mereka berjaya mengekalkan kejuaraan di peringkat negeri.

Katanya, D’Beats Crew sebelum ini menghantar tiga pasukan untuk pertandingan berkenaan, sekali gus membuktikan kekuatan dan persediaan mereka dalam acara aerobic dance.

Sementara itu, seorang peserta D’Beats Crew menyifatkan kejayaan mempertahankan kejuaraan negeri sebagai sesuatu yang cukup menggembirakan, selain menyifatkan persembahan mereka hari ini dilakukan dengan sepenuh tenaga.

“Saya rasa gembira sebab tahun lepas dah juara, jadi tahun ini kekal juara. Saya harap di peringkat kebangsaan nanti boleh juara bertahan.

“Hari ini memang bersungguh-sungguh dan saya sangat berpuas hati,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here