STOCKHOLM: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut dalam insiden serangan dengan pedang di sebuah sekolah menengah di wilayah tengah Sweden.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, polis mengesahkan dua remaja lelaki berusia 12 dan 17 tahun turut cedera parah, manakala mangsa ketiga cedera ringan dalam serangan di Sekolah Brinell di Fagersta.
Suspek lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai bekas pelajar sekolah itu ditahan pihak berkuasa di lokasi kejadian, dan kes disiasat mengikut klausa bunuh dan cubaan bunuh.
Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson dan pemimpin pembangkang, Magdalena Andersson melawat lokasi kejadian pada pagi Sabtu bagi memberikan penghormatan di tapak peringatan yang dipenuhi jambangan bunga.
Insiden berlaku tidak lama selepas sekolah yang mempunyai kira-kira 500 pelajar itu kembali memulakan sesi persekolahan selepas cuti musim panas.
Polis mengesahkan melepaskan tembakan ketika operasi menahan suspek.
Penyerang dilaporkan memakai topi keledar ketika melakukan serangan itu.
Anggota pasukan penyiasat sudah menjalankan pemeriksaan ke atas dua kediaman yang berkaitan dengan suspek bagi mengenal pasti motif serangan.
Kristersson menyifatkan kejadian berkenaan sebagai insiden tragis, manakala Raja Sweden, Raja Carl XVI Gustaf menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang menimpa. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






