Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Setiap tahun tempahan baju termasuk Tanjak tema Jalur Gemilang diterima untuk digunakan kanak-kanak pada acara perbarisan sambutan Hari Kebangsaan.
Usaha berkenaan dilakukan sejak 10 tahun lalu oleh peserta Bengkel Jahitan Kemas Felda Lepar Hilir Satu, dekat sini yang turut menghasilkan pelbagai aksesori hiasan bagi menyerikan lagi perarakan menyambut kemerdekaan.
Peserta bengkel jahitan, Azamimah Abu Kasim, 45, berkata sebelum ini dia bersama beberapa peserta dibantu bekas guru, Latifah Amzah menyediakan baju dan tanjak Jalur Gemilang di bengkel Kemas, namun tahun ini dia menyediakan produk berkenaan di kedai jahitan miliknya.
Katanya, pakaian dan tanjak tema Jalur Gemilang digunakan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Lepar Hilir Satu, sekolah agama dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TBK) menyertai perarakan menyambut hari kebangsaan peringkat kampung.

“Tahun ini saya menerima tempahan membuat pakaian dan tanjak tema Jalur Gemilang, saya menghasilkan produk dengan rasa bangga dan semangat kemerdekaan yang berkobar.
“Lebih berbangga lagi apabila berpeluang melihat kanak-kanak memakai pakaian dan tanjak pada perarakan menyambut hari kebangsaan, sokongan ibu bapa dan guru menceriakan lagi program yang diadakan,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, dia sedia menerima tempahan pakaian dan tanjak tema Jalur Gemilang sebagai usaha memeriahkan lagi program kemenangan sepanjang Bulan Kemerdekaan.
Azamimah berkata, bengkel jahitan Kemas Felda Lepar Hilir Satu sebelum ini menyediakan latihan selain aktiviti jahitan pakaian mereka turut menghasilkan pelbagai produk kraftangan tradisional seperti bakul, tikar, bunga manik dan hiasan.
Katanya, dia mengambil masa antara sejam hingga dua jam bagi menghasilkan pakaian tema Jalur Gemilang untuk kanak-kanak.

“Semangat kemerdekaan menebal yang ada dalam diri mampu menjadi pendorong untuk menghasilkan pakaian dan tanjak yang menarik dan berkualiti setiap tahun.
“Kepuasan muncul apabila melihat kanak-kanak dengan bergaya memakai produk yang saya hasilkan,” katanya yang memiliki kedai menjahit pakaian.
Menurutnya, selain dijual dengan harga RM20 hingga RM50 produk berkenaan turut disewa antara RM10 hingga RM20. Setiap tahun permintaan pakaian dan tanjak menggalakan, beberapa bulan sebelum Hari Kebangsaan tempahan diterima.
IMedikel TV






