Home Buletin Semasa PIKAP REMPUH MOTOSIKAL SEBELUM TERBABAS LANGGAR RUMAH

PIKAP REMPUH MOTOSIKAL SEBELUM TERBABAS LANGGAR RUMAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang penunggang motosikal cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan pikap yang hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah rumah di Jalan Kampung Kerinting, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun sedang berhenti di bahu kiri jalan ketika dirempuh kenderaan Ford dipandu lelaki berusia 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala ke Kota Bharu ketika kemalangan berlaku.

“Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi, pemandu kenderaan pikap berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang sedang berhenti di bahu kiri jalan.

“Selepas pelanggaran itu, kenderaan terbabit terbabas dan merempuh sebuah rumah di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan pada kaki kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Sementara itu, pemandu kenderaan pikap dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Rule 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 59 (Rule 10 LN 166/59)  kerana gagal mengawal kenderaan.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here