Home Sukan FAHMI CIPTA KEJUTAN EMAS 800M SUKMA 2026

FAHMI CIPTA KEJUTAN EMAS 800M SUKMA 2026

SERDANG: Tidak minum ais dan mengurangkan makan makanan berminyak menjadi antara rahsia pelari Selangor, Shaikh Ahmad Fahmi Shaikh Ahmad Fauzi mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara 800 meter (m) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Memetik laporan Harian Metro, Fahmi, 18, mencatat masa peribadi terbaik 1 minit 54.530 saat (s) untuk menewaskan pelari lebih berpengalaman, M Poven Kumar dari Johor yang meraih perak dengan catatan 1:55.120s, manakala Alaziz dari Sabah melengkapkan podium di tempat ketiga dengan masa 1:55.150s.

Lebih manis, kejayaan itu hadir dalam penampilan sulungnya di pentas SUKMA dan pada awalnya hanya menyasarkan tempat di podium.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Terima kasih kepada jurulatih, mak ayah, keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong saya dari dulu sampai sekarang.

“Memang ada sasaran untuk dapat pingat, tetapi tidak terlalu tinggi. Sasaran utama adalah menjadi pemenang pingat, namun Alhamdulillah saya dapat emas,” katanya selepas perlumbaan.

Pelajar pra-universiti Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu berkata, kejayaan berkenaan hadir hasil disiplin tinggi termasuk menjaga pemakanan dan mengorbankan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.

“Setiap pagi jam 6 saya sudah turun latihan sehingga 8.30 pagi sebelum masuk kelas. Petang pula saya sambung latihan jam 4.

“Dari segi makanan, saya tidak minum ais, kurangkan makanan berminyak dan banyak ambil karbohidrat serta protein. Pengorbanan ini sangat berbaloi kerana ini adalah emas pertama saya di SUKMA,” katanya.

Fahmi mengakui tekanan tetap dirasainya apabila perlu berdepan pelari lebih berpengalaman, malah debaran menjelang perlumbaan menyebabkan dia sukar melelapkan mata.

“Tekanan memang ada sebab kena lawan senior yang lebih berpengalaman. Berdebar itu memang ada sampai susah hendak tidur, tetapi saya percaya kepada jurulatih dan diri sendiri.

“Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan ketika larian saya fikir saya mahu menang,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here