Home Buletin Semasa ‘RIDER’ MALAYSIA KE THAILAND DIMINTA FAHAM UNDANG-UNDANG SEBELUM MASUK

‘RIDER’ MALAYSIA KE THAILAND DIMINTA FAHAM UNDANG-UNDANG SEBELUM MASUK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penunggang motosikal Malaysia yang mahu memasuki Thailand dinasihatkan supaya memahami terlebih dahulu peraturan dan undang-undang negara berkenaan bagi mengelak berdepan tindakan penguat kuasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setiap individu perlu mematuhi undang-undang negara yang dikunjungi, sama seperti pelawat dari negara lain yang wajib mematuhi peraturan di Malaysia.

Menurutnya, peraturan di sesebuah negara mungkin berbeza, termasuk berkaitan pengubahsuaian motosikal yang dibenarkan.

“Bila kita masuk ke negara orang, kita kena patuh undang-undang negara berkenaan. Begitu juga mereka masuk ke sini, kena ikut peraturan dan undang-undang kita.

“Sebab itu sebelum masuk ke negara orang, kita kena buat kajian dan belajar dulu undang-undang negara tersebut kerana kadang-kadang tidak sama dengan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Aktiviti Riadah Bermotosikal dan Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) sempena Sambutan Hari Polis Ke-219 dan Program Flag Off Sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata, penunggang juga perlu mengambil tahu mengenai perkara yang dibenarkan dan dilarang di negara berkenaan, termasuk aspek pengubahsuaian motosikal.

Katanya, sesuatu pengubahsuaian yang dianggap tidak bermasalah di Malaysia tidak semestinya dibenarkan di negara lain.

“Dari segi ubah suai motosikal, mungkin di tempat kita rasa okey, tetapi di tempat lain kita tidak tahu sama ada boleh atau tidak.

“Sebab itu sebelum masuk ke negara orang, belajar dulu semua, tidak kira penunggang atau kenderaan kita. Tengok undang-undang negara berkenaan, apa kesalahan yang tidak boleh dibuat, apa ‘do and don’t’ mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penunggang supaya memastikan dokumen dan keperluan kenderaan, termasuk perlindungan insurans, dipenuhi sebelum memasuki negara berkenaan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan mereka ditahan atau dikenakan denda yang lebih berat ketika berada di luar negara.

“Kita tidak mahu ditahan sampai tidak boleh balik atau dikenakan denda yang lebih berat. Maksud saya, kaji dulu apa yang tidak boleh, termasuk kenderaan kita nak masuk ke sana, sampai insurans dan sebagainya,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here