Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kekurangan deria pendengaran dan pertuturan sejak kecil bukan penghalang buat Muhamad Sharil Abdullah, 46, membina kehidupan sendiri menerusi perniagaan bengkel membaiki sistem elektrik kenderaan.
Lebih membanggakan, lelaki itu berjaya mengusahakan Bengkel Sharil Makmur di Kampung Peramu, di sini, sejak 2010 dan kini mempunyai pelanggan daripada pelbagai kaum serta jenis kenderaan.
Muhamad Sharil berkata, kecacatan yang dialaminya selepas diserang demam kuning ketika kecil tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berdikari.
Sebaliknya, pengalaman bekerja selama 12 tahun di sebuah bengkel kenderaan di kawasan perindustrian Padang Lalang, di sini, menjadi bekalan penting sebelum dia nekad membuka perniagaan sendiri.

“Selepas 12 tahun bekerja dan menimba pengalaman, saya mengambil keputusan berhenti pada 2010 untuk membuka bengkel sendiri dengan sokongan keluarga.
“Pada peringkat awal, bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat kerana mereka melihat saya sebagai individu pekak dan bisu yang mungkin mempunyai banyak kekurangan berbanding orang lain.
“Bagaimanapun, selepas setahun beroperasi, sambutan semakin menggalakkan dan sehingga kini pelanggan tidak putus datang ke bengkel,” katanya.
Menurutnya, dia memulakan perniagaan berkenaan dengan menggunakan wang simpanan selain menerima bantuan kewangan sebanyak RM15,000 daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi golongan orang kurang upaya (OKU).
Muhamad Sharil berkata, sebelum menceburi bidang kemahiran, dia bersekolah selama tiga tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, di sini, sebelum mendapat peluang melanjutkan kemahiran di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun, selepas setahun di tingkatan empat, dia memilih untuk tidak meneruskan persekolahan dan mula memberi tumpuan kepada bidang kemahiran serta pekerjaan.
Bapa kepada dua anak lelaki itu berkata, antara cabaran yang pernah dihadapinya ialah apabila segelintir pelanggan meragui kemampuannya memberikan perkhidmatan terbaik hanya disebabkan keadaan dirinya.
Namun, perkara itu tidak mematahkan semangatnya, malah dia menggunakan pelbagai kaedah untuk berkomunikasi dengan pelanggan, termasuk aplikasi WhatsApp dan bahasa isyarat secara ringkas.

“Pelanggan biasanya menerangkan masalah kenderaan melalui WhatsApp dan ada juga yang menggunakan bahasa isyarat. Saya akan periksa kerosakan terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada boleh dibaiki atau sebaliknya.
“Ketika banjir besar melanda daerah ini pada 2021, banyak kenderaan rosak akibat ditenggelami air dan saya menerima banyak permintaan untuk membaiki kenderaan berkenaan.
“Bagaimanapun, ada sebahagian kenderaan terpaksa saya tolak kerana kerosakannya terlalu teruk dan di luar kemampuan saya,” katanya.
Menurutnya, caj membaiki sistem elektrik kenderaan yang dikenakan adalah antara RM500 hingga RM3,000 bergantung kepada jenis serta tahap kerosakan, manakala tempoh pembaikan biasanya mengambil masa antara satu hingga tiga hari.
Katanya, dia lebih mengutamakan kualiti kerja berbanding mengejar jumlah pelanggan bagi memastikan setiap kenderaan yang dibaiki berada dalam keadaan baik sebelum diserahkan semula kepada pemilik.
“Saya utamakan kualiti perkhidmatan. Alhamdulillah, apabila pelanggan berpuas hati, mereka akan datang semula dan mencadangkan bengkel saya kepada orang lain.
“Malah, rakan-rakan pengusaha bengkel lain turut membantu dengan memperkenalkan bengkel saya kepada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan membaiki sistem elektrik kenderaan,” katanya.
Kegigihan Muhamad Sharil membina perniagaan sendiri membuktikan kekurangan fizikal bukan alasan untuk seseorang mengalah, sebaliknya kemahiran, kesungguhan dan keyakinan terhadap keupayaan diri mampu menjadi asas untuk berjaya.
IMedikel TV






