Home Buletin Semasa MAHA 2026 SASAR METERAI MoU RM8 BILION

MAHA 2026 SASAR METERAI MoU RM8 BILION

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dijangka menyaksikan memorandum persefahaman (MOU) bernilai RM8 bilion, termasuk membabitkan syarikat tempatan dan antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perjanjian berkenaan dijangka merangkumi pelbagai bidang termasuk teknologi, kenderaan serta perusahaan berkaitan sektor pertanian dan agromakanan.

“Kami berpuas hati dengan sambutan terhadap Road to MAHA 2026 di Kota Bharu yang turut membuka peluang kerjasama antara Malaysia dengan negara serta syarikat tempatan dan antarabangsa.

“Beberapa memorandum persefahaman (MOU) dijangka dimeterai tahun ini dengan nilai keseluruhan mencecah RM8 bilion, membabitkan pelbagai kerjasama dalam sektor pertanian dan agromakanan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Road to MAHA 2026 Zon Timur di sini, hari ini.

Katanya, sambutan terhadap MAHA 2026 dijangka terus meningkat susulan isu keterjaminan makanan yang kini menjadi agenda penting di seluruh dunia.

“Persoalan rakyat dan kerajaan dalam menyediakan makanan yang cukup dan terjamin kepada rakyat menjadi agenda utama, terutama bagi negara seperti Malaysia yang masih mempunyai kebergantungan tinggi terhadap import makanan,” katanya.

Mohamad berkata, MAHA 2026 akan lebih memberi penekanan kepada inovasi dan pemodenan sektor pertanian, selain menyaksikan penyertaan lebih banyak pempamer antarabangsa.

Menurutnya, penyertaan kali ini turut membabitkan negara dari Afrika dan Asia Tengah, selain negara yang lazim menyertai MAHA seperti China, Britain, Jepun dan Amerika Syarikat.

Katanya, penyertaan negara baharu itu membuka ruang untuk perkongsian teknologi serta perkembangan terkini dalam bidang pertanian antara Malaysia dengan negara lain.

“Ini juga memberi peluang kepada kita untuk berkongsi teknologi dalam bidang pertanian antara negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya yakin sambutan MAHA 2026 mampu mencapai sekitar lima juta pengunjung seperti yang direkodkan kira-kira dua tahun lalu.

Beliau berkata, momentum sambutan Bulan Kebangsaan turut dijangka membantu menarik lebih ramai rakyat mengunjungi MAHA pada tahun ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here