Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket ‘Flying Passport’ yang dipercayai memanipulasi rekod pergerakan warga asing selepas menahan tiga individu dalam operasi di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, pada Khamis lalu.
Operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Negeri Johor.
JIM menerusi kenyataan di laman rasmi memaklumkan, operasi itu adalah tindakan susulan hasil perkembangan siasatan Op Crack yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

“Tiga individu berusia antara 33 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan.
“Pasukan operasi turut menyita beberapa barangan termasuk telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen serta wang tunai berjumlah RM20,000,” menurut kenyataan itu.
JIM berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mengumpulkan pasport milik warga asing tanpa memerlukan pemilik dokumen berkenaan hadir secara fizikal di pintu masuk negara.
Katanya, salinan muka hadapan pasport kemudiannya dihantar oleh ejen sindiket menerusi aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol dengan sindiket untuk diimbas.
“Tindakan itu dipercayai bertujuan mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem JIM.
“Untuk perkhidmatan itu, ejen mengenakan bayaran sebanyak RM700 bagi setiap pasport warga asing yang menggunakan perkhidmatan sindiket ini,” katanya.
Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
JIM berkata, siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit termasuk individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
“Jabatan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






