Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama dalam mentransformasikan sistem penjagaan kesihatan negara, sejajar dengan agenda pendigitalan sektor kesihatan Malaysia.
Perkara itu menjadi fokus utama The National Digital and AI for Smart Health Festival (DASH 2026) yang berlangsung selama dua hari di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), menghimpunkan pakar, penyelidik, pengamal kesihatan, wakil agensi kerajaan, rakan industri serta pelajar dari seluruh negara bagi meneroka potensi teknologi digital serta AI dalam mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, berkata landskap penjagaan kesihatan kini mengalami perubahan ketara apabila teknologi digital dan AI bukan lagi sekadar konsep masa depan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada amalan harian dalam perkhidmatan kesihatan.
Menurutnya, penggunaan rekod perubatan elektronik, teleperubatan, analitik ramalan, perubatan tepat dan sistem diagnostik berasaskan AI membuktikan teknologi kini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan serta kualiti rawatan.

“Transformasi ini selaras dengan aspirasi negara menerusi Kertas Putih Kesihatan yang meletakkan pendigitalan sebagai pemangkin reformasi sistem kesihatan, termasuk memperkukuh tadbir urus data, penggunaan AI dan analitik data raya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta pengalaman pesakit.
“Usaha itu diperkasakan lagi menerusi Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Kesihatan Malaysia 2026–2030 yang menjadi hala tuju ke arah ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih berhubung, dipacu data dan berpusatkan rakyat,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan DASH 2026.
Bagaimanapun, beliau menegaskan teknologi semata-mata tidak mampu mengubah sistem kesihatan tanpa sokongan tenaga profesional yang berupaya menggunakannya secara bertanggungjawab dan beretika.
“Cabaran kesihatan masa kini memerlukan kerjasama pelbagai disiplin dengan setiap pihak memainkan peranan tersendiri, termasuk doktor, jurutera, saintis komputer, pendidik, pemain industri dan kerajaan.
“Doktor memahami keperluan pesakit, jurutera membangunkan teknologi, saintis komputer menghasilkan algoritma, pendidik melahirkan bakat masa hadapan, industri mempercepat inovasi manakala kerajaan menyediakan dasar dan tadbir urus yang menyokong pembangunan teknologi kesihatan,”katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan perubatan perlu berkembang seiring kemajuan teknologi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang klinikal, malah mempunyai literasi digital, kemahiran AI, keupayaan mentafsir data serta pertimbangan etika yang kukuh.

“Doktor masa depan perlu memahami keupayaan dan batasan AI. Teknologi seharusnya menyokong pertimbangan klinikal, bukannya menggantikan nilai kemanusiaan seperti empati, profesionalisme dan akauntabiliti.
“Pesakit bukan sekadar memerlukan diagnosis yang tepat, tetapi juga keyakinan, empati dan hubungan sesama manusia yang tidak mampu digantikan oleh teknologi,” katanya.
Beliau berkata, setiap inovasi AI dalam bidang kesihatan perlu dibangunkan berasaskan bukti saintifik, melalui proses pengesahan yang teliti serta menjamin privasi pesakit, mengurangkan bias dan memastikan akses kesihatan yang adil kepada semua.
Katanya, DASH 2026 diharap menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak idea baharu, kerjasama strategik, pemindahan teknologi serta inovator yang mampu memacu transformasi sistem penjagaan kesihatan negara pada masa depan.
Festival anjuran Unit Kesihatan Digital, PPSP USM itu menjadi platform nasional bagi memperkukuh kerjasama strategik, berkongsi kepakaran serta mengetengahkan inovasi terkini dalam usaha membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih pintar, cekap dan berpusatkan pesakit.
IMedikel TV






