Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Sri Lanka yang disyaki mengeksploitasi buruh paksa terhadap seorang wanita senegaranya dalam operasi khas membanteras pemerdagangan orang di sekitar Jenjarom, Selangor, pada Selasa lalu.
Operasi yang dijalankan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta AMLA itu turut berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Sri Lanka yang dikenal pasti sebagai mangsa eksploitasi.
Menurut kenyataan JIM menerusi laman rasminya, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan awam dan risikan berkaitan seorang wanita warga Sri Lanka yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi oleh majikannya.

“Hasil risikan berjaya mengenal pasti identiti suspek, lokasi kediaman, premis perniagaan serta penempatan pekerja yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai memperdayakan mangsa dengan tawaran pekerjaan serta janji mendapatkan permit kerja sebelum membawanya masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah premis makanan miliknya.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipaksa bekerja tanpa menerima gaji, tidak diberikan makanan yang mencukupi, dikawal pergerakannya selain mengalami kekerasan fizikal sebagai ugutan dan intimidasi,” menurut kenyataan itu.
Berikutan itu, JIM telah memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) terhadap mangsa mengikut peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) bagi memastikan keselamatan serta kebajikannya terpelihara.
“Dalam operasi sama, enam lagi warga Sri Lanka berusia antara 21 hingga 51 tahun terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Hasil semakan berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0 (NGHTI 2.0), seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai mangsa eksploitasi dan berjaya diselamatkan,”jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan suspek yang memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLS) melalui perkahwinan dengan seorang warganegara Malaysia ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), selain turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Sementara itu, enam warga asing yang ditahan akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa,”menurut kenyataan itu.
JIM menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk eksploitasi pekerja, buruh paksa dan pemerdagangan orang serta akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan pelaku jenayah tersebut dibawa ke muka pengadilan.
Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan eksploitasi pekerja, pemerdagangan orang dan penyalahgunaan kemudahan imigresen bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan.
IMedikel TV






