Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JASIN: Seramai 12 pemandu termasuk kelindan kenderaan perdagangan gagal saringan awal dadah dalam Operasi Bersepadu Dadah yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka di Plaza Tol Lipat Kajang, di sini.
Pengarah JPJ Negeri Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu serta kelindan kenderaan perdagangan.
Beliau berkata, operasi yang bermula pada 1 Julai lalu itu turut disertai Timbalan Pengarah JPJ Negeri Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim dan Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Negeri Melaka, Rosdi Jusoh.
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 164 kenderaan diperiksa membabitkan 152 kenderaan barangan, sembilan kenderaan pelancongan dan tiga kenderaan perkhidmatan awam.
“Hasil pemeriksaan dan saringan awal air kencing mendapati seramai 12 individu gagal saringan, terdiri daripada lapan pemandu dan empat kelindan.
“Antara bahan yang dikesan melalui saringan antaranya methamphetamine, ganja, syabu dan morfin,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata selain kesalahan berkaitan dadah, operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan lain termasuk tiada Lesen Memandu Vokasional Barangan (GDL), tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, GDL tamat tempoh serta kesalahan teknikal membabitkan tayar dan aksesori kenderaan.
“Individu yang gagal saringan awal diserahkan kepada AADK untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi itu,”katanya.
Menurutnya, JPJ pula akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap lesen memandu dan lesen vokasional individu terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Siti Zarina berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan sektor pengangkutan dikendalikan oleh pemandu yang berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab demi melindungi keselamatan semua pengguna jalan raya.
IMedikel TV






