PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memperluaskan subsidi diesel kepada peniaga kecil yang menggunakan kenderaan diesel jenis jip dan pikap berdaftar atas nama perniagaan, selain menyemak pelarasan kuota tetap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dengan mengambil kira faktor teknikal termasuk Berat Dengan Muatan (BDM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penambahbaikan itu merupakan antara keputusan Jemaah Menteri yang dibincangkan pada 26 Jun lalu bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api mengambil kira maklum balas rakyat, kos sara hidup, pengurusan risiko ketirisan serta kedudukan fiskal negara.
Menurut kenyataan itu, syarat kelayakan subsidi diesel sebelum ini terhad kepada kenderaan yang didaftarkan atas nama individu di bawah BUDI Diesel dan kenderaan perniagaan atau syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas atau kod kegunaan pengangkutan barangan pengguna bagi SKDS.
“Melalui penambahbaikan ini, subsidi diesel diperluaskan kepada peniaga kecil yang mempunyai kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama perniagaan atau syarikat di bawah kelas atau kod kegunaan persendirian perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, kadar kuota tetap bagi beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat di bawah SKDS turut disemak dengan mengambil kira purata penggunaan mengikut jenis kenderaan serta faktor teknikal seperti Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api dan pola operasi kenderaan.
“Melalui SKDS, kadar penggunaan dan jumlah perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan untuk setiap kenderaan dan syarikat yang berdaftar akan direkodkan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, KPDN mengadakan tinjauan di Stesen Shell Presint 18 bagi melihat kesiapsiagaan syarikat itu melaksanakan bantuan subsidi bahan api menerusi BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang akan berkuat kuasa sepenuhnya di seluruh negara bermula 1 Julai ini.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan secara rintis bermula hari ini bagi menguji kestabilan sistem dengan akses awal diberikan kepada penerima yang layak di stesen minyak di Semenanjung Malaysia pada harga runcit RM2.15 seliter, manakala harga subsidi BUDI Diesel RM2.10 seliter akan bermula pada 1 Julai.
Tinjauan itu meliputi aspek kestabilan sistem transaksi, proses pengesahan menggunakan MyKad dan aplikasi digital syarikat minyak, latihan kepada petugas serta perkhidmatan mesra pelanggan bagi memastikan mekanisme berkenaan berjalan lancar.
“KPDN komited memastikan pelaksanaan mekanisme ini membolehkan rakyat mendapat akses untuk memanfaatkan bantuan subsidi bahan api dengan lancar, selamat dan mesra pengguna,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, hasil kerjasama kerajaan dan industri, 10 syarikat minyak iaitu PETRONAS, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, PETROS dan IPTB telah mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing bagi pelaksanaan BUDI Diesel.
Sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara juga telah bersedia untuk pelaksanaan penuh BUDI Diesel sebagai salah satu mekanisme penyasaran subsidi bahan api.
KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengambil tindakan susulan segera bagi melaksanakan keputusan dasar Jemaah Menteri termasuk mengenal pasti mekanisme penyaluran yang bersesuaian serta keperluan pengubahsuaian dan pengintegrasian kepada sistem pelaksanaan sedia ada.
IMedikel TV






