Home Buletin Semasa 30 KAKITANGAN JPNP TIMBA ILMU SELAMATKAN MANGSA LEMAS

30 KAKITANGAN JPNP TIMBA ILMU SELAMATKAN MANGSA LEMAS

40
0

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Seramai 30 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) terpilih menyertai Kursus Berenang, Menyelam dan Menyelamat secara teori dan praktikal sebagai persediaan menghadapi situasi ketika bertugas.

Kursus selama tiga hari itu dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih berpengalaman daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi, di sini.

Peserta, Muhamad Hafizuddin Harun, berkata penyertaan kali pertama dalam kursus berkenaan memberi banyak pengalaman berguna ketika berhadapan situasi kecemasan, terutama di kawasan air.

“Tanpa kemahiran sukar untuk membantu menyelamatkan mangsa lemas kerana ketika itu mangsa berada dalam keadaan cemas.

“Beberapa kaedah boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa antaranya menarik baju mangsa, menghulurkan kayu dan pelampung,” katanya, di sini semalam.

Katanya, pendedahan yang diterima sepanjang kursus amat berguna untuk dipraktikkan ketika berlaku kecemasan, sekali gus membantu peserta berhadapan situasi berisiko terutama ketika menjalankan tugas.

“Kursus ini turut mendedahkan peserta kepada cara membantu memulihkan pernafasan mangsa yang lemas.

“Tanpa kemahiran, tidak mungkin kita dapat membantu mangsa yang mungkin terlalu lemah selepas tertelan banyak air.

“Kemahiran berenang menjadi syarat utama sekiranya kita ingin menyelamatkan mangsa yang sedang lemas,” katanya.

Kursus itu dianjurkan oleh Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing.

Seorang lagi peserta, Mohd Zulhaili Mansor yang bertugas di Ibu Pejabat JPNP, berkata latihan di Pusat Selaman Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan dan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, menambahkan lagi kemahiran peserta.

Katanya, arus deras di Sungai Pasir Kubur memberi pengalaman baharu kepada peserta yang rata-ratanya pertama kali mengikuti kursus berkenaan, manakala penggunaan jaket keselamatan memastikan latihan dapat dijalankan dengan selamat.

“Saya berpuas hati dapat mengikuti kursus berenang, menyelam dan menyelamat yang memberi kemahiran serta keyakinan untuk digunakan ketika berdepan situasi kecemasan.

“Saya berharap kursus ini dapat diadakan setiap tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai kakitangan JPNP mengikuti kursus berkenaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here