Home Hiburan SARIMAH PERJUANG KESIHATAN MENTAL

SARIMAH PERJUANG KESIHATAN MENTAL

56
0

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim terbuka menyertai sebarang program yang memberi manfaat kepada masyarakat selaras peranannya sebagai ikon dan jurucakap pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Empati yang memperjuangkan isu kesihatan mental.

Memetik laporan Berita Harian, memasuki tahun ketiga bersama NGO yang diasaskan Syahida Zulkarnain itu, Sarimah berkata, pembabitannya memberi peluang untuk membantu memperkasa golongan muda, khususnya dalam aspek kesihatan mental, selain memupuk nilai empati dalam kehidupan.

Sehubungan itu, Sarimah memberi sokongan penuh kepada penganjuran tayangan eksklusif filem lakonannya, Konspirasi, hasil kerjasama Empati, Generasi FELDA Lurah Bilut dan kelab peminatnya di GSC Mid Valley Megamall di sini, baru-baru ini.

Aktres berusia 48 tahun itu berkata, pemilihan filem Konspirasi dibuat berdasarkan kesesuaian tema dan mesej yang boleh dikaitkan dengan isu kesihatan mental, selain menjadi platform untuk dirinya mendekati masyarakat.

“Dalam kehidupan sebenar, banyak perkara berlaku berpunca daripada masalah kesihatan mental yang tidak diselesaikan. 

“Kadang-kadang isu ini bermula dengan rasa kurang yakin terhadap diri sendiri yang mungkin berpunca daripada trauma dialami. 

“Jadi, banyak gejala sosial yang berlaku sebenarnya berkait rapat dengan masalah kesihatan mental yang tidak ditangani.

“Disebabkan itulah saya memikirkan tema filem Konspirasi sangat sesuai. Ia bukan sekadar filem aksi atau kisah mengenai orang jahat, tetapi lebih kepada persoalan mengapa seseorang itu boleh menjadi sedemikian,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Menerusi sesi tayangan eksklusif itu, Sarimah meluangkan masa beramah mesra bersama 25 ahli Empati, anak-anak Generasi FELDA Lurah Bilut dan ahli kelab peminatnya.

Sarimah berkata, Empati sentiasa terbuka untuk membantu individu yang berdepan masalah peribadi sehingga menjejaskan kesihatan mental.

Tambahnya, antara harapan terbesar menerusi pembabitannya adalah untuk memperkenalkan Empati secara lebih meluas terutama mengenai bantuan dan peranan yang disediakan kepada masyarakat.

“Empati membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan mental. Namun, perkara paling penting yang mahu kami sampaikan kepada golongan muda adalah bantuan sentiasa tersedia.

“Kami juga ada sesi seperti Lepak dan Luah yang membuka ruang kepada orang ramai berkongsi masalah kesihatan mental bersama pakar dalam suasana santai.

“Program seperti ini mungkin belum diketahui ramai. Jadi, selain menikmati filem, kami juga mahu menyampaikan mesej dan memperkenalkan NGO Empati kepada masyarakat,” katanya.

Sarimah berkata, statusnya sebagai wanita dan ibu memberi dorongan kuat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan muda demi masa depan mereka.

“Peranan kita semua adalah memastikan anak-anak dan generasi akan datang mendapat bantuan mengenai kesihatan mental.

“Tanpa kesihatan mental yang baik, kesihatan fizikal dan emosi turut terjejas. Apabila kedua-duanya terkesan, impaknya bukan sahaja kepada individu, malah keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Sarimah menegaskan, penjagaan kesihatan mental perlu diberi perhatian serius kerana ia memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.

“Kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal. Di sekolah ada pendidikan jasmani dan kita bersenam untuk kekal sihat. Namun, jika fikiran tidak sihat, kita tetap tidak mampu mencapai potensi sebenar.

“Malah, keadaan itu boleh berkembang menjadi masalah yang lebih besar sehingga menjejaskan keluarga, hubungan suami isteri, anak-anak, ekonomi negara dan keharmonian masyarakat.

“Sebab itu kita perlu melihat apakah sebenarnya isu utama yang perlu diberi perhatian sebagai sebuah negara,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here