Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak 90 Komuniti MADANI dan 14 Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kelantan menerima surat pelantikan dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan kepada masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelantikan itu bertujuan memastikan maklumat daripada peringkat pusat dapat disampaikan hingga ke peringkat komuniti, selain membolehkan isu dan permasalahan rakyat di peringkat akar umbi dibawa kembali kepada perhatian kerajaan.

“Anggota Komuniti MADANI dan Pengerusi Panel Penasihat NADI perlu bekerjasama bagi memastikan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dapat diperkasakan.
“Maklumat dari peringkat pusat perlu sampai ke peringkat komuniti dan isu atau masalah yang berlaku dalam komuniti pula perlu dapat disampaikan semula ke peringkat pusat sekiranya memerlukan perhatian kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Negeri Kelantan, di Hotel Perdana, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Program Jiwa MADANI di Hotel Renai di sini.
Menurut Fahmi, rangkaian Komuniti MADANI dan NADI juga akan dimanfaatkan bagi menjayakan Kempen Internet Selamat yang sedang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kempen itu memberi penekanan kepada kesedaran penggunaan internet secara selamat khususnya dalam kalangan kanak-kanak, termasuk mengenai larangan membuka akaun media sosial bagi mereka yang berusia bawah 16 tahun.
“Selain itu, kempen tersebut turut memberi fokus kepada usaha menangani isu buli siber serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan dan perjudian dalam talian,”katanya.
Fahmi berkata, ketika ini terdapat 79 pusat NADI di seluruh Kelantan yang berperanan sebagai pusat pembelajaran digital dengan pelbagai modul pendidikan untuk pelajar, usahawan dan masyarakat umum.
“NADI adalah tempat yang sesuai untuk aktiviti pembelajaran termasuk bagi mereka yang berminat mempelajari kecerdasan buatan (AI).
“Saya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, telah menyaksikan satu majlis pemeteraian perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan dan MCMC untuk memanfaatkan pusat NADI sebagai lokasi saringan kesihatan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata kerajaan sedang dalam proses penyelarasan untuk menerima 191 Pusat Komuniti Desa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi diterapkan sebagai sebahagian daripada rangkaian NADI.
Katanya, proses itu membabitkan beberapa perkara pentadbiran yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya dapat dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata perbincangan antara MCMC dan badan kawal selia komunikasi United Kingdom, Ofcom, sudah berlangsung sejak lebih dua tahun lalu berhubung pelbagai aspek kawal selia platform media sosial.
Menurutnya, perbincangan tersebut bukan sahaja menyentuh cadangan sekatan umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial, malah turut membabitkan isu kawal selia platform-platform media sosial secara keseluruhan.
Beliau berkata, pada peringkat awal, Ofcom melihat langkah Kerajaan Malaysia melalui MCMC yang memperkenalkan rejim pelesenan terhadap platform media sosial sebagai satu pendekatan yang baik dalam usaha memperkukuhkan keselamatan pengguna di alam digital.
“Perbincangan dengan pihak Ofcom memang sudah berjalan dan kita turut mengalu-alukan apa yang sudah diumumkan oleh Perdana Menteri United Kingdom.
“Jelas bahawa semakin banyak negara mengambil pendirian yang sama, sekali gus menunjukkan media sosial bukanlah platform yang benar-benar selamat untuk kanak-kanak berusia bawah 16 tahun,” katanya.
IMedikel TV






