Home Buletin Semasa 132 WARGA ASING DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL

132 WARGA ASING DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL

33
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Seramai 132 tahanan warga asing dihantar pulang ke negara asal masing-masing oleh Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas sepanjang minggu kedua Jun lalu dalam usaha memastikan tiada lambakan tahanan yang telah selesai menjalani hukuman terus berada di negara ini.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi pemindahan itu membabitkan pelbagai warganegara dengan jumlah tertinggi terdiri daripada 54 warga Indonesia, diikuti 36 warga Myanmar, 17 warga Filipina, 13 warga Nepal, lapan warga Pakistan, tiga warga India dan seorang warga China.

“Kesemua tahanan berkenaan dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 serta Terminal Feri Stulang Laut.

“Pemindahan tahanan adalah aktiviti utama Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas yang dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahanan yang telah selesai menjalani hukuman tidak terus kekal tinggal di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

JIM Johor berkata, kesemua tahanan terbabit telah selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta kesalahan lain yang berkaitan.

Menurut jabatan itu, semua individu yang dihantar pulang turut disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini bagi tempoh yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam pada itu, JIM Johor memaklumkan segala urusan penghantaran pulang tahanan termasuk pembelian tiket boleh dilakukan di kaunter perkhidmatan yang disediakan di Depot Imigresen Pekan Nenas tanpa sebarang caj perkhidmatan dikenakan.

“Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan urusan pemindahan tahanan boleh menghubungi Unit Rekod dan Pemindahan Depot Imigresen Pekan Nenas di talian 07-6993540 atau melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO),” menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here