POLAND: Doktor wanita ditahan semalam selepas pihak berkuasa menemui 34 janin manusia tertanam di taman rumah lamanya.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Magdalena H, seorang pakar patologi perubatan berusia 57 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, disyaki menggunakan janin berkenaan untuk menjalankan uji kaji dan kini berdepan hukuman penjara sehingga 12 tahun.
Kesnya menggemparkan Poland, sebuah negara yang berpegang kuat kepada tradisi Katolik, dengan ramai pihak mempersoalkan bagaimana dia memperoleh janin bayi yang belum lahir itu, sedangkan Poland dikenali antara negara yang mempunyai undang-undang pengguguran paling ketat di Eropah.
Bagaimanapun jurucakap pejabat pendakwa raya berkata, setakat ini tiada bukti menunjukkan suspek memperoleh janin berkenaan melalui aktiviti pengguguran haram.
Magdalena H menghadapi pertuduhan mencemarkan mayat, pengendalian sisa secara tidak betul dan mengabaikan bahan berbahaya di lokasi yang tidak dibenarkan.
Minggu lalu, pejabat pendakwa raya di tenggara Poland menerima maklumat risikan mengenai penemuan sisa perubatan semasa kerja-kerja pembinaan di tapak rumah lama suspek yang terletak di perkampungan di Lutoryz.
“Sisa perubatan ini kemungkinan besar digunakan oleh wanita yang ditahan itu untuk menjalankan ujian,” kata jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Wilayah di Rzeszow, Krzysztof Ciechanowski.
Susulan itu, satu operasi geledah besar-besaran dijalankan di kawasan berkenaan membabitkan puluhan anggota polis, radar dan anjing pengesan yang akhirnya membawa kepada penemuan sekurang-kurangnya 34 janin yang tertanam di taman.
Sumber yang tidak mendedahkan nama pula memberitahu Radio Eska Poland bahawa Magdalena H dipercayai membawa keluar janin berkenaan semasa pandemik Covid-19 dari sebuah hospital di Rzeszow, tempat dia bekerja untuk menjalankan ujian di rumah.
Selain janin, pihak berkuasa turut menemui puluhan ribu slaid mikroskop, blok minyak tanah dan “serpihan dokumentasi” semasa operasi geledah, menurut sumber itu.
Doktor berkenaan kemudiannya ditahan pada Jumaat lalu dan diarahkan untuk menjalani tahanan reman selama tiga bulan sementara menunggu perbicaraan.
Jurucakap pendakwa raya pada sidang akhbar berkata, Magdalena H mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan tetapi bersetuju bahawa dia yang membawa dan menanam janin manusia yang ditemui pihak berkuasa di hartanahnya, termasuk sisa perubatan lain.
Identiti janin masih belum dikenal pasti dan tidak diketahui sama ada Magdalena H bertindak sendirian atau sebaliknya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






