Home Buletin Semasa SABAH CATAT KADAR PENAGIH DADAH TERENDAH NEGARA, KES MENURUN 5.9 PERATUS PADA...

SABAH CATAT KADAR PENAGIH DADAH TERENDAH NEGARA, KES MENURUN 5.9 PERATUS PADA 2025

56
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus kadar penagih dan penyalahgunaan dadah atau bahan sepanjang tahun 2025, sekali gus muncul sebagai negeri terbaik dalam negara berdasarkan kadar kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, statistik menunjukkan jumlah penagih dan penyalahgunaan dadah atau bahan yang dikesan di Sabah menurun daripada 9,207 orang pada tahun 2024 kepada 8,665 orang pada tahun 2025.

“Pencapaian itu menyaksikan Sabah mencatatkan kadar 230 penagih dan penyalahgunaan dadah atau bahan bagi setiap 100,000 penduduk, sekali gus meletakkan negeri berkenaan pada kedudukan terbaik di peringkat nasional bagi tahun lalu.

“Keputusan ini membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu pelbagai pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di sini, semalam.

Beliau berkata dalam usaha mengekalkan momentum tersebut ke arah mencapai sasaran Dadah Terkawal 2030, mesyuarat berkenaan turut meluluskan dua kertas pertimbangan iaitu Perluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Sektor Awam Negeri Sabah dan Pemerkasaan SKUAD Antidadah Membangun Komuniti Berdaya Tahan.

“Usaha ini adalah langkah-langkah strategik baharu bagi membangunkan komuniti yang mempunyai daya tahan tinggi sekaligus menyebar luas kempen pendidikan pencegahan dan kesedaran awam mengenai bahaya penyalahgunaan dadah atau bahan dalam kalangan masyarakat di Negeri Sabah,”katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan terhadap pelaksanaan Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), yang kini memberi tumpuan kepada dua lokasi rintis iaitu Kampung Likas di Kota Kinabalu dan Kampung Benoni di Papar.

Katanya, inisiatif intervensi komuniti tersebut diperkukuhkan lagi menerusi Program SKUAD Antidadah Bersatu Lawan Najis Dadah yang membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan komuniti setempat.

“Selain itu, AADK turut giat melaksanakan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di seluruh negara yang menggunakan pendekatan dua hala merangkumi kaedah “Top-Down” dan “Bottom-Up” bagi memobilisasikan komuniti secara menyeluruh,”katanya.

Beliau berkata, pendekatan hibrid itu bertujuan membina benteng pertahanan sosial bermula daripada institusi keluarga sekali gus mengurangkan kebergantungan dan permintaan terhadap dadah atau bahan terlarang.

“AADK yakin komitmen padu yang ditunjukkan kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah akan terus menghasilkan keputusan yang konstruktif, praktikal dan berimpak tinggi dalam usaha memastikan Sabah serta Malaysia bebas daripada ancaman dadah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here