Home Luar Negara ANAK PUTERI MAHKOTA NORWAY TUNGGU KEPUTUSAN KES ROGOL

ANAK PUTERI MAHKOTA NORWAY TUNGGU KEPUTUSAN KES ROGOL

42
0

OSLO: Mahkamah Oslo dijadual menyampaikan keputusan hari ini dalam perbicaraan anak lelaki Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit.

Memetik laporan AFP menersui Berita Harian, dia didakwa merogol empat wanita serta melakukan beberapa perbuatan keganasan dalam skandal berprofil tinggi yang menggoncang institusi diraja negara itu.

Marius Borg Hoiby, 29, anak Mette-Marit daripada hubungan sebelum kahwin dengan Putera Mahkota Haakon pada 2001, dibicarakan dari 3 Februari hingga 19 Mac atas 40 pertuduhan yang membawa hukuman maksimum 16 tahun penjara.

Hoiby yang bukan ahli sah keluarga diraja dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, menafikan tuduhan paling serius termasuk dakwaan rogol yang menurut pihak pendakwaan berlaku ketika mangsa sedang tidur atau tidak sedarkan diri, selain dakwaan penderaan domestik terhadap bekas teman wanitanya.

Mahkamah dijangka mengumumkan keputusan bermula jam 8.30 pagi waktu tempatan. 

Hoiby yang ditahan sejak 1 Februari, tidak akan hadir secara fizikal atas sebab kesihatan yang tidak didedahkan, sebaliknya akan mengikuti prosiding melalui pautan video. 

Pendakwa raya memohon hukuman penjara tujuh tahun tujuh bulan dikenakan terhadap Hoiby.

Pasukan pembelaannya pula meminta beliau dibebaskan daripada tuduhan rogol dan penderaan domestik serta hanya menjalani hukuman 18 bulan penjara bagi pertuduhan lain.

Bagaimanapun, Hoiby dijangka tetap dipenjarakan selepas mengaku bersalah terhadap beberapa pertuduhan termasuk melakukan serangan fizikal, membuat ugutan dan membawa 3.5 kilogram ganja.

Perbicaraan itu mendedahkan gaya hidup mewah dan keterlaluan yang dilalui Hoiby, yang mula menjadi perhatian umum pada usia tiga tahun apabila hubungan ibunya dengan putera mahkota diketahui umum.

“Saya lebih dikenali sebagai anak kepada ibu saya, bukan kerana perkara lain.

“Jadi, sepanjang hidup saya, saya menghadapi tekanan yang sangat besar untuk mendapatkan pengiktirafan.

“Saya menemuinya dalam bentuk banyak hubungan seks, banyak dadah dan banyak alkohol,” katanya di mahkamah.

Kes rogol yang didakwa berlaku termasuk satu di kediaman pasangan diraja itu, dilaporkan berlaku antara 2018 hingga 2024, kebanyakannya selepas sesi hiburan malam yang menurut Hoiby membabitkan pengambilan alkohol dan dadah.

Pendakwa raya berkata kes berkenaan bermula dengan hubungan seks secara suka sama suka, sebelum disusuli perlakuan seksual ketika wanita terbabit dipercayai sedang tidur atau pengsan dan oleh itu tidak mampu memberikan persetujuan.

Sebahagian besar hujahan undang-undang sepanjang perbicaraan tertumpu kepada tahap kesedaran mangsa dan apa yang sepatutnya dapat disedari oleh Hoiby ketika kejadian.

Dalam hujah penutup, pendakwa raya Sturla Henriksbo menyifatkan Hoiby sebagai seorang lelaki ‘yang beranggapan dia boleh melakukan apa sahaja yang diinginkan’.

Walaupun memberikan penjelasan yang bercelaru dan sering mendakwa tidak mengingati kejadian tertentu, Hoiby berulang kali menegaskan beliau ‘bukan seorang yang biasa melakukan hubungan seks dengan wanita yang sedang tidur’.

Beliau turut mengkritik tekanan media yang menurutnya menggambarkannya sebagai ‘raksasa’ dan menjadikannya ‘sasaran kebencian seluruh Norway’.

Skandal itu tercetus pada 4 Ogos 2024 apabila polis menahan Hoiby kerana disyaki menyerang teman wanitanya ketika itu di sebuah apartmen di Oslo pada malam sebelumnya.

Media menyiarkan gambar menunjukkan sebilah pisau tertusuk pada dinding serta lampu gantung yang pecah di atas lantai.

Salah seorang bekas pasangannya, pempengaruh media sosial, Nora Haukland, kemudian tampil mendakwa beliau turut menjadi mangsa penderaan fizikal dan psikologi yang digambarkan pendakwa raya sebagai ‘pemerintahan penuh ketakutan’.

Semasa perbicaraan, Hoiby mengakui rasa cemburu kadang kala menyebabkannya hilang kawalan.

Wanita terbabit bagaimanapun tidak membuat laporan atau pertuduhan rogol terhadap Hoiby.

Sebaliknya, polis yang menyiasat insiden Ogos 2024 menemui rakaman video dalam telefon dan komputer miliknya yang menurut mereka menunjukkan perlakuan rogol, sebelum menghubungi wanita berkenaan yang dikatakan tidak menyedari kejadian yang dirakam itu.

Skandal berkenaan mencemarkan imej institusi diraja Norway dan menyumbang kepada penurunan sokongan rakyat, walaupun monarki negara itu masih menikmati populariti yang luas.

Ia berlaku selepas pendedahan terdahulu mengenai hubungan persahabatan Mette-Marit dengan pesalah seks Amerika Syarikat yang telah disabitkan kesalahan, Jeffrey Epstein.

Hoiby baru-baru ini memohon dibebaskan sementara menunggu keputusan mahkamah bagi membolehkan beliau bersama ibunya selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, namun permohonan itu ditolak.

Mette-Marit, 52, menghidap penyakit paru-paru kronik yang tidak boleh disembuhkan dan menyebabkan kesukaran bernafas.

Beliau juga baru-baru ini dimasukkan ke dalam senarai menunggu untuk pemindahan paru-paru. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here