Home Buletin Semasa 825 ROHINGYA DITAHAN DALAM TEMPOH LIMA BULAN TAHUN INI

825 ROHINGYA DITAHAN DALAM TEMPOH LIMA BULAN TAHUN INI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan merekodkan peningkatan ketara jumlah tahanan warga Rohingya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini apabila seramai 825 individu ditahan menerusi 412 kes, melebihi jumlah keseluruhan tahanan yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, trend tersebut menunjukkan usaha migran Rohingya untuk memasuki Malaysia masih berada pada tahap tinggi, khususnya melalui Kelantan yang menjadi antara pintu masuk utama ke negara ini.

“Bagi tempoh dua tahun iaitu sepanjang 2025 hingga Mei 2026, sebanyak 689 kes membabitkan 1,548 tahanan Rohingya direkodkan.

“Ini menunjukkan cubaan untuk memasuki Malaysia masih berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. 

Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 5,373 warga Rohingya di Kelantan yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala lebih kurang 8,000 orang tidak mempunyai kad dan menetap di negeri ini.

Mengulas mengenai lokasi tumpuan warga Rohingya di negeri ini, Mohd Yusoff berkata kawasan Kota Bharu mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti Padang Siam di Tanah Merah, Ketereh, Bunut Susu dan Pasir Puteh.

“Tiada penempatan khas untuk mereka. Mereka tinggal secara berselerak di beberapa kawasan termasuk rumah-rumah sewa dan penempatan tidak rasmi,” katanya.

Dari aspek jenayah, beliau berkata majoriti kes membabitkan warga Rohingya adalah berkaitan kesalahan imigresen dengan 384 kes direkodkan tahun ini.

“Selain itu, sebanyak 16 kes penyeludupan migran membabitkan 21 individu turut direkodkan, manakala jenayah harta benda seperti curi, pecah rumah dan samun mencatatkan lapan kes dengan lapan tangkapan.

“Bagi jenayah kekerasan pula, empat kes direkodkan membabitkan tujuh tangkapan. Setakat ini tiada kes jenayah berat yang membabitkan mereka direkodkan di Kelantan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, hasil pemantauan polis mendapati kebanyakan migran Rohingya masih menggunakan laluan sungai dan perairan sempadan untuk memasuki negara ini.

“Migran berkenaan biasanya memasuki kawasan sempadan melalui Tak Bai sebelum menggunakan laluan sungai kecil, anak sungai yang bersambung dengan Sungai Kelantan untuk bergerak ke kawasan pedalaman.

“Walaupun kawalan sempadan semakin diperketatkan, cubaan untuk memasuki Malaysia masih berlaku hampir setiap hari. Majoritinya membabittkan warga Myanmar termasuk etnik Rohingya,” katanya.

Beliau berkata Malaysia terus menjadi destinasi pilihan golongan itu kerana faktor agama, peluang pekerjaan serta kewujudan komuniti dan ahli keluarga yang telah lama menetap di negara ini.

Sehubungan itu, polis akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here