Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited dalam memperkukuhkan sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.
Kelantan International Coffee Week 2026 adalah contoh terbaik kepada pendekatan untuk pembangunan produk pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, festival berkenaan adalah contoh terbaik pendekatan pelancongan berasaskan pengalaman atau tourism experience yang sedang diperkasakan kerajaan negeri.
Menurut beliau, dalam suasana industri pelancongan yang semakin kompetitif, Kelantan perlu menawarkan produk pelancongan yang unik, autentik dan mempunyai identiti tersendiri melalui gabungan elemen budaya, warisan, seni, gastronomi serta komuniti tempatan.
“Kelantan International Coffee Week 2026 bukan sekadar menghimpunkan komuniti kopi, malah berperanan sebagai platform memperkenalkan Kelantan sebagai destinasi pelancongan menerusi pendekatan cultural tourism experience.
“Festival ini menggabungkan kopi sebagai industri, seni sebagai ekspresi dan budaya sebagai identiti melalui konsep ‘Coffee, Culture & Community’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup KICW 2026 di Gelanggang Seni, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, penganjuran festival itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan berasaskan kopi dan budaya di samping menyokong Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kamarudin berkata, KICW 2026 menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung dengan penglibatan antara 80 hingga 100 vendor tempatan dan antarabangsa, sekali gus mencerminkan keyakinan penganjur terhadap potensi besar festival tersebut.
“Penganjuran kali ini turut mendapat sentuhan antarabangsa menerusi kerjasama dengan Border Coffee Carnival Thailand selain penyertaan barista dan pengusaha pemanggangan kopi (roaster) dari luar negara.
“Festival ini juga menjadi platform penting untuk membantu usahawan kopi tempatan mengembangkan perniagaan, memperluaskan jaringan industri di peringkat ASEAN serta menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Kelantan.
“Saya melihat KICW 2026 ini mempunyai potensi besar untuk berkembang menjadi festival kopi bertaraf antarabangsa dan seterusnya merealisasikan hasrat menjadikan Kelantan sebagai tuan rumah ASEAN Coffee Brewers League pada tahun 2027,” katanya.
Beliau turut berharap penganjuran KICW mampu memberi impak positif kepada ekonomi negeri melalui peningkatan kehadiran pelancong, sokongan kepada sektor hotel dan penginapan, merancakkan ekonomi malam serta mempromosikan budaya dan gastronomi Kelantan ke peringkat global.
KICW 2026 dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan (Tourism Kelantan), Persatuan Kreatif Kelantan (KREATIF), Border Coffee Carnival Malaysia dan Kelantan Coffee Community bersama beberapa rakan strategik lain.
IMedikel TV






