Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sungai di Kampung Pulai, Padang Maling, di sini, dipercayai ketika menjalankan aktiviti mendulang emas, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.28 pagi tadi selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam kira-kira jam 11 malam, Selasa.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berada di lokasi kejadian bagi menjalankan aktiviti mendulang emas sebelum ditemukan lemas di dalam sungai berkenaan.
“Maklumat yang diperoleh daripada ahli keluarga mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan dan sering mengalami serangan penyakit tersebut.
“Pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan setakat ini juga tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan kematian mangsa dengan perlakuan jenayah.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
IMedikel TV






