Home Buletin Semasa LRA BUKIT CHUPAK BERI HARAPAN BAHARU KEPADA 20,000 PENDUDUK GUA MUSANG –...

LRA BUKIT CHUPAK BERI HARAPAN BAHARU KEPADA 20,000 PENDUDUK GUA MUSANG – MB KELANTAN

40
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

GUA MUSANG: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, penyerahan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak di Gua Musang merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem bekalan air negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, projek yang dibangunkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) itu mampu membekalkan sehingga 10 juta liter air terawat sehari dan memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk di sekitar Gua Musang.

“Projek ini membawa harapan besar kepada rakyat untuk menikmati bekalan air yang lebih stabil, berkualiti dan berterusan.

“Apa yang paling penting bukanlah bangunan atau mesin yang dibina, tetapi keyakinan rakyat terhadap usaha berterusan kerajaan dan agensi berkaitan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, bekalan air yang mencukupi dan berkualiti merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan sesebuah negeri, justeru kerajaan negeri komited memastikan kemudahan itu terus dipertingkatkan.

Menurutnya, pembangunan sektor air di Kelantan tidak tertumpu kepada satu kawasan sahaja, sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh menerusi pelbagai projek bekalan air dan penggantian paip lama yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri dengan pembiayaan PAAB dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Tambah beliau, projek penggantian paip lama dan program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) amat penting bagi memastikan air terawat dapat disalurkan kepada pengguna dengan lebih cekap serta mengurangkan kehilangan air akibat kebocoran.

“Kerajaan negeri menghargai komitmen PAAB dalam melaksanakan projek NRW Kebangsaan dan penggantian paip yang melibatkan pelaburan besar kerana ia bukan sahaja mengurangkan kehilangan air terawat, malah meningkatkan kecekapan sistem bekalan air secara keseluruhan,” katanya.

Jelasnya, pelbagai projek infrastruktur air yang sedang dirancang dan dilaksanakan ketika ini memberi keyakinan bahawa sektor bekalan air Kelantan berada di landasan yang tepat untuk terus diperkasakan menjelang 2030.

Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri berharap apabila keseluruhan projek itu siap kelak, masalah gangguan bekalan air berulang dan kebocoran paip dapat diminimumkan, sekali gus membolehkan rakyat menikmati bekalan air yang lebih stabil, bersih dan berkualiti, selain menyokong pertumbuhan kawasan perumahan, perniagaan dan perindustrian di negeri itu.

Sementara itu, PAAB menyerahkan LRA Bukit Chupak, di sini, bernilai RM70.76 juta yang dibangunkan bagi meningkatkan bekalan air bersih dan stabil kepada lebih 20,000 penduduk di sekitar jajahan Gua Musang.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh PAAB itu merupakan loji rawatan air pertama dibangunkan syarikat berkenaan di Kelantan hasil kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“LRA Bukit Chupak dibangunkan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih yang sekian lama dihadapi penduduk setempat, selain meningkatkan rizab bekalan air kepada lima peratus berbanding sifar sebelum ini.

“Projek ini bukan sahaja memastikan bekalan air yang lebih stabil dan berkualiti, malah membantu memenuhi keperluan pengguna ketika musim kemarau serta peningkatan permintaan pada musim perayaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here