Home Buletin Semasa FESTIVAL BELIA KELANTAN 2026 PLATFORM CUNGKIL POTENSI ANAK MUDA

FESTIVAL BELIA KELANTAN 2026 PLATFORM CUNGKIL POTENSI ANAK MUDA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Golongan muda diseru agar memanfaatkan setiap ruang dan platform yang ada bagi membina kapasiti diri serta memperkukuh kemahiran untuk melahirkan generasi yang kompetitif dan relevan dengan kehendak semasa.

Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal berkata, dalam era dunia tanpa sempadan masa kini, anak muda perlu memiliki daya tahan tinggi, kemahiran pelbagai bidang serta jati diri yang kukuh.

“Golongan belia bukan sahaja perlu menjadi pencipta peluang, malah penggerak kepada pembangunan masyarakat dan negeri.

“Kita mahu melihat lebih ramai anak muda khususnya di Kelantan tampil sebagai pemimpin komuniti, usahawan berjaya, pencetus inovasi serta individu yang mampu memberi sumbangan besar kepada negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Festival Belia@Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2026 bertemakan ‘Menggerak Belia Madani’ di pekarangan AEON Mall Kota Bharu, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan, Saipuddin Zakaria dan Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan, Khairul Azhar Kamaruzaman.

Menurut beliau, festival yang berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Mei itu bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan muda atas sumbangan mereka kepada pembangunan negara, selain menjadi platform mencungkil bakat, kreativiti dan potensi anak muda dalam pelbagai bidang.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk segmen penciptaan peluang pekerjaan menerusi pameran kerjaya dan TVET MyFutureJobs-PERKESO yang melibatkan 10 majikan.

“Selain itu, terdapat juga segmen kepimpinan dan kesukarelawan melibatkan MGBK bersama Kelab Generasi Penggerak Ummah Bandar Tanah Merah.

“Festival ini turut menampilkan segmen Malaysia Aktif seperti Edstore Neon Fun Walk serta segmen kebudayaan, kesenian dan muzik menerusi persembahan malam Yaya Empire,” katanya.

Tambah beliau, program ‘Fun Walk’ sejauh tiga kilometer itu menggabungkan elemen kesihatan, gaya hidup aktif dan hiburan dalam suasana penuh warna-warni serta semangat belia.

Katanya lagi, festival itu turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) melibatkan tiga kategori utama iaitu pertubuhan belia, individu lelaki dan wanita yang aktif dalam bidang kepimpinan, kesukarelawan, pembangunan komuniti dan keusahawanan.

“Yaya Empire adalah penaja utama festival ini diikuti JDMH Autopro Sdn Bhd, Edstore, By Chefiza dan Public Gold PG1M Millionaires,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here