Home Luar Negara 24 MAUT DALAM LETUPAN KERETA API DI PAKISTAN

24 MAUT DALAM LETUPAN KERETA API DI PAKISTAN

30
0

QUETTA: Sekurang-kurangnya 24 maut manakala 70 lagi cedera dalam serangan bom terhadap sebuah kereta api ulang-alik yang membawa anggota keselamatan Pakistan dan keluarga mereka di wilayah barat daya Balochistan, pada Ahad.

Menurut seorang pegawai serangan terbaru itu didakwa dilakukan kumpulan pemisah bersenjata.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, kejadian itu adalah yang terbaru dalam siri serangan menyasarkan kereta api, pasukan keselamatan dan infrastruktur di wilayah yang kaya sumber mineral dan bersempadan dengan Iran dan Afghanistan.

Serangan itu berlaku ketika Pakistan melancarkan operasi antipemberontakan susulan gelombang keganasan paling buruk yang melanda negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Kumpulan pemisah bersenjata Baloch Liberation Army (BLA) dalam kenyataan kepada media mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan menyifatkannya sebagai pengeboman bunuh diri. 

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas 

Kementerian Kereta Api Pakistan berkata, kereta api ulang-alik itu membawa penumpang dari kawasan kantonmen Quetta untuk menyambung perjalanan menggunakan kereta api jarak jauh Jaffar Express apabila letupan berlaku berhampiran landasan di ibu negeri wilayah berkenaan.

Letupan itu menyebabkan enjin dan tiga gerabak tergelincir dari landasan, manakala dua lagi gerabak terbalik.

Kementerian itu sambil menambah pasukan keselamatan telah mengepung kawasan kejadian dan operasi menyelamat sedang dijalankan.

Seorang pegawai keselamatan berkata, sebuah kenderaan sarat dengan bahan letupan merempuh salah satu gerabak kereta api di kawasan perumahan dan sebahagian mangsa yang terbunuh adalah penghuni pangsapuri berhampiran.

Imej dari lokasi kejadian menunjukkan kenderaan rentung, bangunan kediaman rosak, besi berpintal dan serpihan bertaburan berhampiran landasan kereta api, dengan asap berkepul dari lokasi letupan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam apa yang disifatkannya sebagai “letupan bom kejam” menerusi hantaran di platform X.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berkata seluruh negara berdiri bersama rakyat Balochistan. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here