Home Luar Negara 5 ANGGOTA POLIS GAZA, SEORANG REMAJA MAUT AKIBAT SERANGAN ISRAEL

5 ANGGOTA POLIS GAZA, SEORANG REMAJA MAUT AKIBAT SERANGAN ISRAEL

GAZA: Serangan terkini Israel mengorbankan lima anggota polis dan seorang kanak-kanak di utara Semenanjung Gaza pada Sabtu, menurut pasukan penyelamat serta pasukan polis wilayah Palestin di bawah pentadbiran Hamas.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, agensi pertahanan awam Gaza melaporkan enam maut dan sejumlah individu cedera selepas satu serangan udara menyasarkan sebuah lokasi polis di kawasan al-Tuam.

Hospital al-Shifa di Bandar Gaza mengesahkan pihaknya menerima enam mayat, termasuk lima anggota polis dan seorang remaja yang dilahirkan pada 2011.
Wartawan AFP di lokasi menyaksikan sekurang-kurangnya tiga jenazah dibalut dengan kain kapan putih.

Pasukan polis Gaza memaklumkan lima anggotanya terbunuh, sambil menambah dua peluru berpandu dilepaskan ke lokasi polis di al-Tuam.

Seorang saksi berkata, serangan itu menyasarkan sebuah khemah yang digunakan polis, terletak bersebelahan sekatan jalan raya.

Sumber tentera Israel memberitahu AFP bahawa tenteranya menyasarkan ‘anggota Hamas’ di kawasan berkenaan.

Perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza sejak Oktober, namun Israel mengekalkan hak untuk melancarkan serangan terhadap sasaran yang dianggap sebagai ancaman.

Wilayah itu terus dibelenggu keganasan harian susulan serangan Israel yang berterusan, dengan tentera Israel dan Hamas saling menuduh melanggar gencatan senjata.

Kementerian Dalam Negeri kerajaan Hamas memaklumkan seramai 42 anggota polis terbunuh di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Dalam satu kenyataan, Hamas mengecam apa yang disifatkannya sebagai jenayah terhadap anggota polis yang bertujuan mencetuskan kekacauan di Semenanjung Gaza.

Agensi pertahanan awam Gaza kemudian memaklumkan seorang lagi individu terbunuh akibat tindakan tentera Israel berhampiran koridor Netzarim di tengah Semenanjung Gaza pada Sabtu.

Bagaimanapun, agensi itu tidak memberikan maklumat lanjut, manakala tentera Israel memaklumkan kepada AFP bahawa pihaknya tidak mengetahui sebarang kes di kawasan berkenaan.

Sekurang-kurangnya 890 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata pada 10 Oktober, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas dan angka dikeluarkannya dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sekatan media dan akses terhad di Gaza menghalang AFP daripada mengesahkan secara bebas angka korban atau membuat liputan bebas mengenai pertempuran yang berlaku. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here