Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka menyita sebuah Toyota Vellfire yang dipandu seorang lelaki pemegang kad UNHCR selepas gagal mengemukakan lesen memandu sah dalam satu operasi penguatkuasaan semalam.
Menurut kenyataan, kenderaan itu adalah antara tujuh kenderaan mewah yang disita atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Tindakan sitaan dibuat mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JPJ Melaka.
JPJ Melaka menegaskan pemilikan kenderaan mewah bukan “pasport kebal” untuk melanggar undang-undang jalan raya.
“Sama ada memandu motosikal biasa atau Vellfire mewah, undang-undang tetap sama untuk semua,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPJ Melaka memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin selain memastikan pematuhan undang-undang dilaksanakan tanpa kompromi.
IMedikel TV






