Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JELI: Dua lelaki ditemukan maut selepas tertimbus dalam kejadian runtuhan tebing tanah dipercayai ketika menjalankan aktiviti melombong emas di sebuah anak sungai di Ladang Sawit Jerimbong, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam.
“Sepasukan sembilan anggota bersama tiga jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan Rapid Response Vehicle (RRV) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 32.8 kilometer dari balai.
“Komander operasi memaklumkan pasukan tidak dapat memasuki kawasan ladang menggunakan jentera kerana keadaan jalan yang sempit sebelum menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux untuk ke lokasi kejadian.
“Dalam kejadian tersebut dua orang didapati meninggal dunia akibat tertimbus manakala seorang lagi terselamat tanpa kecederaan,”katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV.
Beliau berkata operasi pencarian dimulakan pada jam 9.20 malam dan didapati benar terdapat dua mangsa tertimbus akibat runtuhan tebing tanah setinggi kira-kira dua meter di kawasan anak sungai.
“Mangsa pertama ditemukan pada jam 9.25 malam, manakala mangsa kedua ditemukan pada jam 11.18 malam.
“Kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian,” katanya.
Katanya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jeli untuk proses selanjutnya.
IMedikel TV






