Kota Bharu, KELANTAN: Kelantan United Football Club (KUFC) puas apabila akhirnya berjaya mencapai kemenangan sulung dalam saingan Liga Super, malam tadi.
Penolong ketua jurulatihnya, Nazrulerwan Makmor berkata, kemenangan itu menamatkan penantian enam bulan KUFC untuk mencari tiga mata berharga musim ini.
Lebih manis, mereka menewaskan ‘abang’ mereka, Kelantan FC dengan jurang cukup besar 4-1 di stadium keramat Kelantan, Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu.
“Selepas dua gol awal, kami ada buat silap dan Kelantan FC dapat satu gol, itu masalah kami sebenarnya (beri peluang lawan gol).
“Kami akan cuba perbaiki masa ke semasa dan kalau tak fokus seratus peratus, kita akan dikecewakan, kalau tengok kita tutup tirai pusingan pertama (Liga Super) dengan kemenangan dan harap kemenangan ini dibawa ke pusingan kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Sementara itu, skrip berbeza bagi ketua kurulatih Kelantan FC, Frank Bernhardt yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaan atas kekalahan ke-11 The Red Warriors.
Bernhardt mengakui beliau sendiri tidak tahu apa yang perlu diperkatakan berikutan prestasi TRW yang melakukan kesilapan besar.
“Kami dah bercakap dengan pemain secara individu, kami dah lakukan apa yang kami boleh buat, tapi malam tadi, bahagian pertahanan terlalu lemah. Dua kali jaringan gol tidak dikira (ofsaid), saya kecewa dengan pertahanan, hantaran bola dan kesilapan individu, setiap kali sama sahaja.
“Setiap minggu kita bawa pasukan ke latihan, setiap kali kita bangkitkan mereka semula, tapi empat, lima, enam perlawanan kita kalah.
“Ini tak normal, kesilapan kita buat, kita beri peluang lawan menang, kita cipta peluang tapi tak capai kemenangan, empat, lima perlawanan,” katanya yang menyerahkan masa depan beliau kepada pengurusan selepas gagal dalam lima perlawanan sejak mengambil alih tugas daripada Choi Moonsik.
Sumber HMetro Online
Imedikel TV






