Home Buletin Semasa PERALIHAN MONSUN BERMULA HUJUNG MAC HINGGA MEI DEPAN

PERALIHAN MONSUN BERMULA HUJUNG MAC HINGGA MEI DEPAN

120
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula 29 Mac ini hingga Mei depan, sekali gus menandakan penghujung Monsun Timur Laut 2025/2026 yang bermula sejak 13 November lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, dalam tempoh berkenaan, keadaan atmosfera tidak stabil dengan tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh mencetuskan pembentukan awan ribut petir.

“Situasi ini berpotensi membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat, lazimnya pada sebelah petang hingga awal malam.

“Kawasan yang dijangka terlibat termasuk bahagian barat dan pedalaman Semenanjung, selain barat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keadaan cuaca tidak menentu itu turut meningkatkan risiko kejadian banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

Sehubungan itu, orang ramai digesa agar sentiasa berwaspada dan merancang aktiviti harian dengan mengambil kira perubahan cuaca sepanjang tempoh peralihan monsun ini.

“Orang ramai juga disaran untuk sentiasa mengikuti maklumat terkini serta amaran cuaca melalui laman rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial jabatan,” katanya.

Tambah beliau, sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here