Home Buletin Semasa ISU PETROL DALAM TONG: MOF SEKAT AKSES BUDI95

ISU PETROL DALAM TONG: MOF SEKAT AKSES BUDI95

97
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memandang serius penularan video di media sosial yang memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di sebuah stesen minyak.

MOF dalam kenyataan semalam memaklumkan hasil siasatan mendapati individu terbabit adalah warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.

“Perbuatan berkenaan jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95, sekali gus berpotensi menjejaskan usaha kerajaan memastikan pengurusan subsidi dilaksanakan secara telus, bersasar dan berkesan.

“Susulan itu, tindakan akan diambil dengan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi tersebut, selain pemilik kenderaan terbabit daripada terus menikmati kemudahan di bawah program BUDI95,” menurut kenyataan itu.

MOF menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi, khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, MoF menghargai keprihatinan orang ramai yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan isu tersebut.

Orang ramai turut digalakkan untuk terus membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyaluran subsidi melalui Pusat Khidmat BUDI MADANI di talian 1300-88-9595 atau 03-2631 4595, serta emel budimadani@treasury.gov.my.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here