Home Hiburan RAMADAN DETIK TERINDAH BUAT MARSHA

RAMADAN DETIK TERINDAH BUAT MARSHA

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Marsha Milan mengakui pengalaman pertama menyambut Ramadan selepas memeluk Islam pada 2015 menjadi titik perubahan paling bermakna dalam hidupnya.

Memetik laporan Berita Harian, Marsha atau nama sebenar, Marsha Milan Londoh, 40, berkata, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya, dia menyifatkan sebagai ruang untuk mengenal diri dan juga Tuhan dengan lebih dekat.

Mengimbau detik awal itu, dia mengakui perasaannya bercampur-baur antara teruja dan gementar.

“Pengalaman pertama ketika itu bagi saya ia adalah antara momen paling bermakna dalam hidup saya.

“Sebelum ini, sebenarnya saya pernah cuba berpuasa terapi sekadar menemani kawan-kawanlah tanpa benar-benar memahami keindahan dan maknanya.

“Apabila saya sendiri melaluinya sebagai seorang Muslim, saya mula merasai keindahan sebenar Ramadan. Setiap tahun, Ramadan sentiasa menjadi sesuatu yang saya nantikan kerana pengalamannya sentiasa berbeza dan baharu,” katanya kepada BH Online.

Disoal cabaran paling besar ketika mula belajar berpuasa dan ibadat Ramadan, Marsha berkata, semua proses perkembangannya dipermudahkan.

“Alhamdulillah, semuanya baik. Setiap tahun adalah proses pembelajaran buat saya.

“Sudah tentu setiap pengalaman ada cabarannya, tetapi saya percaya Allah Maha Baik dan Maha Mengasihi… Semuanya sentiasa dipermudahkan,” ujarnya.

Marsha berkata, dalam proses menyesuaikan diri, dia bersyukur kerana tidak bersendirian kerana suami serta keluarga mentuanya banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar sepanjang perjalanan itu.

Tambahnya, setiap kali Ramadan dia akan berasa gementar, namun, pada masa sama, gembira kerana dihadiri keluarga yang besar.

“Masih ada rasa gementar, tetapi, dalam masa yang sama sangat teruja. Perasaan itu bercampur-baur, namun indah.

“Sejujurnya Ramadan membuatkan saya banyak bermuhasabah soal kehidupan dan betapa bertuahnya kita dapat merasai, mengalami dan menerima kasih sayang ini.

“Sebab saya sedar tidak semua orang berpeluang melalui Ramadan seperti kita. Jadi saya sentiasa belajar untuk lebih bersyukur,” katanya.

Marsha berkata detik berkumpul bersama keluarga ketika berbuka menjadi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Baginya, di situ mulanya proses pembelajaran soal ibadat puasa sedikit demi sedikit.

“Alhamdulillah, saya dikelilingi keluarga yang ramai di rumah. Jadi, rutin sahur, berbuka dan tarawih menjadi lebih meriah dan menyeronokkan.

“Itu banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan lebih mudah. Semakin usia bertambah, semakin banyak yang saya pelajari mengenai kehidupan.

“Pengalaman ini mematangkan saya dan memberi perspektif yang lebih luas dalam melihat kerjaya dan perjalanan hidup,” katanya.

Marsha berharap terus diberi kekuatan untuk memperbaiki diri sepanjang Ramadan.

“Semoga segala ibadat dan amalan diterima Allah. Semoga saya terus diberi kekuatan untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here