Home Buletin Semasa PLUS SARAN GUNA MYPLUS-TTA RANCANG PERJALANAN BALIK KAMPUNG

PLUS SARAN GUNA MYPLUS-TTA RANCANG PERJALANAN BALIK KAMPUNG

95
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad menjangkakan lonjakan jumlah kenderaan di rangkaian lebuh raya kendaliannya khususnya aliran trafik keluar dari Lembah Klang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sehubungan itu, syarikat konsesi lebuh raya berkenaan menyarankan orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung dengan merujuk kepada jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi aplikasi PLUS bagi memastikan perjalanan lebih lancar.

Menurut kenyataan syarikat itu, MyPLUS-TTA diperkenalkan bagi membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih efisien sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

“Dengan mematuhi jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya dijangka dapat menikmati perjalanan yang lebih lancar sepanjang musim perayaan.

“Jadual perjalanan digital berkenaan boleh dirujuk bagi tempoh antara 18 Mac hingga 30 Mac ini membabitkan perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan serta Lebuhraya Pantai Timur 2,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pengguna hanya perlu memilih tarikh, destinasi dan masa perjalanan melalui ikon “MyPLUS-TTA” dalam aplikasi PLUS sebelum menerima notifikasi berkaitan keadaan trafik.

“Selain itu, aplikasi berkenaan turut menyediakan maklumat perjalanan seperti lokasi plaza tol, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, kemudahan yang disediakan serta paparan kamera litar tertutup (CCTV) trafik secara masa nyata.

“Aplikasi PLUS boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store bagi pengguna Android dan Apple App Store untuk pengguna iPhone,”menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, akaun X @plustrafik dan @lpt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta melalui siaran stesen radio utama negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here