Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerepek ubi ngaku atau ‘arrowhead’ terus menjadi kudapan istimewa sempena Tahun Baharu Cina kerana sifatnya yang bermusim dan hanya boleh diperoleh antara Disember hingga Februari setiap tahun.
Keunikan itu menjadikan ubi berkenaan dinanti-nantikan masyarakat Cina serta penggemarnya daripada pelbagai kaum, memandangkan ia sukar ditemui pada musim lain.
Peniaga, Rohayu Wahidin, 39, berkata faktor bermusim itulah yang menjadikan kerepek ubi ngaku mempunyai nilai sentimental tersendiri setiap kali perayaan.

“Kita boleh makan ubi ngaku ini sekali setahun sahaja. Apabila tiba musimnya, memang ramai yang cari kerana rasa dan teksturnya berbeza,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Panji, di sini, baru-baru ini.
Rohayu berkata dia mula mengusahakan kerepek berkenaan sekitar 2020 selepas melihat rakan berkongsi proses pembuatannya di Facebook sebelum mencuba sendiri secara kecil-kecilan.
Menurutnya, sambutan yang diterima melalui media sosial amat menggalakkan walaupun harga ubi mentah mencecah RM10 hingga RM12 sekilogram.
Dari segi penyediaan, Rohayu berkata prosesnya hampir sama seperti kerepek ubi lain iaitu mengupas, membasuh dan menyagat nipis sebelum digoreng serta dimasukkan ke dalam mesin ‘oil spinner’ bagi mengurangkan lebihan minyak supaya lebih tahan lama.

Rohayu berkata, selain perisa original yang tidak memerlukan garam, kini terdapat variasi seperti salty egg, spicy dan cheese bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan kelainan.
Rohayu menawarkan tiga saiz balang dengan berat sehingga 360 gram, selain menerima tempahan korporat termasuk sehingga 100 balang bagi saiz kecil.
Menurutnya, permintaan bukan sahaja datang dari dalam negara malah turut menembusi pasaran Singapura dan Brunei, dengan jualan dibuat secara dalam talian menerusi platform seperti Shopee dan TikTok terutama menjelang musim perayaan.
IMedikel TV





