Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Sembilan individu warganegara Myanmar ditahan polis selepas disyaki memasuki Malaysia tanpa dokumen sah dalam satu kejadian pada jam 4.30 pagi, semalam.
Tangkapan dibuat di Terowong Jambatan Sultan Yahya Petra, Pasir Pekan selepas sepasukan polis mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Preve dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pemandu kenderaan tersebut gagal berhenti apabila diarahkan sebelum memecut laju, terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala semakan nombor casis tidak mempunyai sebarang rekod.
“Tangkapan melibatkan empat lelaki dan lima wanita warga Myanmar, polis turut merampas 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Khairi berkata, semua individu yang ditahan dipercayai memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua tangkapan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, maklumat berkaitan tangkapan itu turut dimaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Interpol serta Kedutaan Myanmar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
IMedikel TV





