Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 1,050 buah kenderaan mewah menerusi ‘Ops Luxury’ yang dijalankan bermula Julai 2025 hingga Isnin lalu di seluruh negara, dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM200 juta.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kebanyakan pemilik kenderaan terbabit didapati gagal memperbaharui cukai jalan dengan alasan menghadapi masalah kewangan serta terlupa untuk membuat bayaran.
“Antara kenderaan mewah yang disita termasuk Ford Mustang, Subaru, Mercedes-Benz, BYD, Rolls-Royce dan beberapa jenama lain.
“Tiga negeri mencatatkan jumlah sitaan tertinggi iaitu Kuala Lumpur dengan 150 buah kenderaan, diikuti Pulau Pinang (100) dan Selangor (100),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat JPJ Negeri Kelantan, di sini, Rabu.
Jelasnya kebanyakan pemilik kenderaan mewah itu terdiri daripada ahli perniagaan yang mendakwa tidak mampu membayar cukai jalan mencecah RM20,000 hingga RM50,000 setahun.
“Jumlah saman bagi kesalahan cukai jalan dan insurans hanyalah sekitar RM300 hingga RM500.
“Namun, apabila tindakan lebih tegas diambil termasuk penyitaan kenderaan dan arahan pembayaran cukai jalan dikeluarkan, barulah mereka tampil untuk membuat bayaran,” katanya.
IMedikel TV






