Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, berhampiran Simpang Manek Urai Baru, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.45 pagi menerusi kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Krai.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal berkuasa tinggi dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
“Pembonceng motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dari arah Kota Bharu cuba membelok ke kanan untuk memasuki simpang menghala ke Kampung Manek Urai Baru.
“Pada masa sama, motosikal yang dibonceng mangsa datang dari arah Gua Musang ke Kota Bharu. Motosikal berkenaan dipercayai melanggar sisi bahagian hadapan sebelah kiri kereta yang sedang membelok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah, manakala penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra bagi tujuan bedah siasat.
Mazlan berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang gagal memberi laluan kepada motosikal yang berada di jalan lurus.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,”katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-966 6222.
IMedikel TV






