Home Buletin Semasa KPDN PANTAU AKTIVITI PENCATUTAN MELALUI OPS KESAN 5.0 BERMULA 1 JANUARI LEPAS

KPDN PANTAU AKTIVITI PENCATUTAN MELALUI OPS KESAN 5.0 BERMULA 1 JANUARI LEPAS

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan OPS KESAN 5.0 bagi memantau dan mengekang aktiviti pencatutan bermula 1 Januari lepas.

Operasi itu sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang turut berkuatkuasa pada tarikh sama.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, terdapat lima pendekatan yang diambil menerusi OPS KESAN 5.0 termasuk proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang bermula pada 1 Julai 2025.

”Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA.

”Selain itu, kita juga akan mengguna pakai data kutipan harian yang dikumpul oleh Pegawai Pemantau Harga KPDN, meliputi 316 barangan sebagai panduan untuk memantau jika ada pergerakan harga yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azman berkata KPDN turut memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan serta menggalakkan penyertaan awam melalui Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR).

Katanya, KPDN juga menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk pengurusan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan.

Di samping itu, jelas beliau sekiranya KPDN menerima aduan, pihaknya akan segera mengambil tindakan susulan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan itu.

Orang ramai diseru untuk membuat aduan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

”OPS KESAN ini diharap dapat mengesan pihak yang membuat kenaikan harga untuk mengaut keuntungan berlebihan,” katanya.

Jelas beliau, peniaga individu yang disabitkan kesalahan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tiga tahun manakala bagi syarikat, hukuman denda boleh mencecah RM500,000 jika disabitkan kesalahan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here