Home Hiburan SOAL MAS KAHWIN, BUKAN NAK AIB SESIAPA – ABBY ABADI

SOAL MAS KAHWIN, BUKAN NAK AIB SESIAPA – ABBY ABADI

KUALA LUMPUR: Abby Abadi menjelaskan perkongsian mengenai bayaran mas kahwin tertangguh oleh bekas suami, Norman Hakim, bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya dijadikan pengajaran kepada lelaki agar tidak culas menunaikan tanggungjawab.

Memetik laporan Berita Harian, menerusi hantaran TikTok, Abby atau nama sebenar, Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata perkongsian itu dibuat dengan niat baik perkara tertangguh dapat diselesaikan selagi masih diberi kesempatan hidup.

“Saya kongsi mengenai mas kahwin dengan niat supaya perkara ini menjadi contoh kepada bekas suami di luar sana.

“Apa yang tertangguh, cuba selesaikan selagi masih ada nyawa. Tiada niat pun nak mengaibkan sesiapa,” katanya.

Menurut Abby, perkongsian itu turut menyaksikan Norman mendapat pujian positif daripada warganet yang menyifatkan dirinya lelaki bertanggungjawab.

Bagaimanapun, Abby memberitahu, Norman berasa kecil hati dengan isu berkenaan sehingga memilih untuk tidak menyertai percutian keluarga ke Jepun.

“Ramai yang puji Oman (panggilan Norman). Beritahu dia ni bagus, baik, bertanggungjawab, kacak dan pemurah.

“Tetapi Oman merajuk! Sampai tidak mahu pergi ke Jepun,” katanya.

Sebelum ini, Abby mendedahkan dia menerima bayaran mas kahwin tertangguh daripada Norman selepas menunggu selama 22 tahun.

Dalam perkongsian sama, Abby turut meluahkan rasa syukur serta menghargai sikap suaminya, Faizal Zakaria dan isteri bekas suaminya, Memey Suhaiza, yang tidak pernah mencampuri urusan berkenaan.

Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum bercerai pada 2009. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 23, Marissa Dania Hakim, 21, dan Danisha Hakim, 18.

Selepas perceraian, Abby mendirikan rumah tangga dengan Faizal manakala Norman berkahwin dengan Memey pada 2011. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here