Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Produk kesihatan keluaran IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) terus menunjukkan potensi besar apabila Malaysia Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) menilai syarikat itu sebagai antara peneraju baharu yang berupaya menembusi pasaran hospital kerajaan dan swasta.
Penolong Naib Presiden Jabatan Bioteknologi Penjagaan Kesihatan, Bioeconomy Corporation, Ahmad Fazil Ellias, berkata pihaknya optimis dengan keupayaan I Medikel sebagai jenama tempatan yang mampu membawa inovasi baharu dalam sektor farmaseutikal dan penjagaan kesihatan negara.

“Saya lihat banyak produk I Medikel yang berkualiti dan berpotensi dibawa ke pasaran hospital kerajaan serta swasta. InsyaAllah, kita akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi merealisasikan usaha ini,” katanya.
“Selain daripada sokongan untuk menembusi pasaran tersebut, kita juga akan membantu mengasah bakat pekerja dan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Lawatan Delegasi Bioeconomy Corporation ke I Medikel Pharma Holding Berhad, di Wisma I Medikel, Telipot, di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden I Medikel, Yusmat Mamat, dan Ketua Pegawai Kewangan, Syahrul Azlan Mahmood.

Menurutnya, hasil pemerhatian di fasiliti dan kilang I Medikel turut membuka peluang untuk syarikat itu disenaraikan di bawah Bio-Based Accelerator Programme (BBA) iaitu sebuah platform yang memacu syarikat bioteknologi tempatan ke peringkat lebih berdaya saing.
“Kami juga akan membantu memperkukuh kemahiran tenaga kerja serta memperluas potensi Medikel agar lebih dikenali bukan sahaja di Pantai Timur, tetapi di seluruh negara dan global,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Syahrul Azlan turut mempamerkan beberapa jenis produk keluaran I Medikel kepada pihak Bioeconomy Corporation.

IMedikel TV






