Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa pengguna menerima kuantiti minyak RON95 yang kurang daripada sepatutnya serta kualiti yang rendah selepas pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar BUDI95.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata susulan dakwaan itu, Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali mengarahkan supaya tindakan segera dan menyeluruh diambil bagi memastikan siasatan dilakukan secara telus dan hak pengguna terus dilindungi
“Sehubungan itu, pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95.
“Tindakan termasuklah pemeriksaan ke atas pam minyak dan semakan rekod jualan. Hasil siasatan mendapati tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setakat ini enam aduan rasmi diterima berkaitan kekurangan kuantiti petrol RON95, namun tiada aduan berkaitan isu kualiti diterima oleh pihak kementerian.
“Kementerian ingin menegaskan bahawa pelaksanaan BUDI95 tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.
“Walau bagaimanapun, pemeriksaan berterusan akan diadakan termasuk pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan,”jelasnya.
Dalam masa yang sama, KPDN memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan bahan api ini.
“Sekiranya didapati bersalah di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730], syarikat boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.
“Bagi individu pula, denda boleh mencecah RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, dan bagi kesalahan berulang, denda sehingga RM250,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali,”tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan supaya menyalurkan laporan rasmi melalui saluran WhatsApp: 019-848 8000, Talian Bebas Tol: 1-800-886-800, E-mel: e-aduan@kpdn.gov.my dan aplikasi mudah alih: Ez ADU KPDN.
“Kementerian komited memastikan setiap aduan lengkap yang diterima akan disiasat dengan segera bagi menjaga kepentingan dan hak pengguna,” katanya.
IMedikel TV






