Home Buletin Semasa GAYA HIDUP ‘CASHLESS’ SEMAKIN DITERIMA, PENIAGA, PENGGUNA PILIH TRANSAKSI TANPA TUNAI

GAYA HIDUP ‘CASHLESS’ SEMAKIN DITERIMA, PENIAGA, PENGGUNA PILIH TRANSAKSI TANPA TUNAI

236
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dalam era digital yang serba pantas, masyarakat kini semakin selesa beralih kepada penggunaan sistem kewangan tanpa tunai atau cashless bagi urusan harian termasuk pembelian barangan dan pembayaran perkhidmatan.

Kaedah transaksi menggunakan kod QR dan e-dompet kini bukan sahaja menjadi pilihan pengguna, malah turut digunakan secara meluas oleh peniaga yang mahu memudahkan urusan jual beli serta meningkatkan keselamatan kewangan mereka.

Bagi peniaga kedai emas, Wan Hafizuddin Wan Rosli, 31, penggunaan kod QR memudahkan urusan perniagaan tanpa perlu berurusan secara fizikal dengan wang tunai.

“Hasil jualan terus masuk ke akaun bank tanpa perlu simpan wang atau ke bank untuk deposit. Ia lebih selamat dan cepat, tambahan pula saya boleh terus guna wang dalam akaun untuk bayar kepada pembekal,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, masalah capaian internet kadangkala menjejaskan urusan pembayaran, namun dia mengambil langkah proaktif dengan memasang sambungan WiFi di kedainya bagi melancarkan transaksi.

Wan Hafizuddin turut mengakui terdapat kekangan apabila had transaksi kod QR terhad, menyebabkan sebahagian pelanggan perlu membuat pemindahan wang secara manual menggunakan nombor akaun.

Seorang lagi peniaga, Mohamad Hassif Hassan, 28, yang mengusahakan premis Colek Buah Kelate, berkata penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai bukan sahaja memudahkan urusan jual beli, malah membantu mengelak penipuan.

“Saya menggunakan peranti pembesar suara QR supaya setiap kali transaksi diterima, sistem akan berbunyi. Jadi kita boleh tahu bayaran dah masuk dan elak masalah pelanggan mendakwa belum bayar,” jelasnya.

Sementara itu, pengguna e-dompet, Nurul Nisya Alia, 21, dari Kampung Lundang, berkata sistem pembayaran melalui kod QR sangat praktikal kerana hanya memerlukan telefon pintar tanpa perlu membawa wang tunai.

“Ia lebih mudah dan cepat. Sekarang hampir semua tempat ada kod QR, jadi tidak perlu risau kalau tidak bawa duit,” katanya.

Bagi pengguna lain, Tengku Noreen Syazrina Shihabuden, 29, dari Pasir Tumboh, pembayaran tanpa tunai bukan sahaja menjimatkan masa, malah meminimumkan risiko kehilangan wang tunai.

“Kalau kedai sediakan kod QR, saya memang lebih suka bayar guna e-dompet sebab cepat dan tak perlu tunggu lama. Tapi saya tetap bawa sedikit wang tunai untuk kecemasan,”katanya.

Trend cashless yang semakin meluas ini dilihat bukan sekadar gaya hidup moden, tetapi turut memperkukuh budaya kewangan digital dalam kalangan masyarakat, khususnya di Kelantan, selaras dengan perkembangan teknologi kewangan negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here