Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
BACHOK: Kanak-kanak lelaki yang cedera parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya disahkan meninggal dunia pada pukul 3.02 petang hari ini, selepas seminggu bertarung nyawa.
Bapanya, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata, anaknya Muhammad Ammar Muhamad Badrul, 7, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Menurutnya selepas jantung terhenti selama 14 minit pada pukul 9.30 pagi semalam, mereka sekeluarga sentiasa berada disisinya di wad.
“Sehingga hari ini dia masih bergantung kepada peralatan mesin sokongan hayat dan meninggal dunia pada petang ini.
“Setiap hari keluarga kami tidak putus membacakan yasin dan melakukan solat hajat, namun reda dengan pemergian Muhammad Ammar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Muhammad Badrul turut membuat hantaran status WhatsApp dengan tulisan “Assalamualaikum, anak saya Muhammad Ammar da (sudah) kembali ke negeri asal… sama-sama sedekahkan Al-Fatihah,” tulisnya.
“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anak saya sepanjang seminggu mendapatkan rawatan sejak kejadian malang itu,” tulisnya.
Katanya jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujor, Jelawat, Bachok dijangka malam ini.
Terdahulu media melaporkan, dalam kejadian Khamis lalu, Muhammad Ammar mengalami retak di beberapa bahagian tempurung kepala selain otak bengkak serta luka serius dan menerima lebih 50 jahitan selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat, Bachok.
Suspek berusia 46 tahun yang juga bapa saudara mangsa ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi, Bachok, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian, dipercayai selepas memukul kanak-kanak itu.
IMedikel TV






