Home Sukan TMJ YAKIN ADA AGENDA BESAR SEBALIK TINDAKAN FIFA

TMJ YAKIN ADA AGENDA BESAR SEBALIK TINDAKAN FIFA

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail percaya ada agenda yang lebih besar menentang Malaysia susulan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berdarah warisan negara.

Memetik laporan Harian Metro, menerusi platform Instagram Story, baginda turut berkongsi kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang menjawab mengenai isu kewarganegaraan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Perkara 19 (1), Perlembagaan Persekutuan yang sebelum itu dikongsikan bekas Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Menteri Dalam Negeri sudah jelas menyatakan proses untuk memberikan kerakyatan kepada tujuh pemain itu dibuat berdasarkan perlembagaan kita, undang-undang dan pertimbangan berhati-hati.

“Kita perlu sentiasa menyokong proses rayuan dan bersatu di belakang pasukan kebangsaan kita, bukan menyemai rasa kurang harmoni dan perpecahan.

“Ada agenda lebih besar di sini menentang Malaysia. Saya yakin akan itu,” kata Tunku Mahkota Ismail.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta. -HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here