Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 150 peserta melibatkan 15 pasukan menyertai Pertandingan Sukan Aerobic Dance Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang berlangsung di Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan, di sini, hari ini.
Timbalan Pengarah (Belia) JBS Kelantan, Nurdalila Mohamad Khali berkata, penganjuran itu bertujuan mempromosikan sukan Aerobic Dance dalam kalangan masyarakat selain memberi pendedahan mengenai komponen sukan berdasarkan code of point di peringkat antarabangsa (FIG).
“Kita mahu meningkatkan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan komuniti setempat, di samping menambah baik kemahiran mereka dalam bidang sukan.
“Sukan Aerobic Dance bukan sahaja menyeronokkan, malah ia merupakan aktiviti kecergasan yang mampu meningkatkan tahap kesihatan, mental dan emosi, selaras dengan agenda kerajaan memperkukuh gaya hidup sihat dan produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pertandingan Sukan Aerobic Dance Peringkat Negeri Kelantan 2025, di JBS Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pertandingan itu membabitkan dua kategori iaitu remaja berusia 17 tahun ke bawah dan dewasa berusia 18 tahun ke atas.
“Penglibatan remaja datang daripada sekolah rendah dan menengah, manakala kategori dewasa pula terdiri daripada peserta Institut Pengajian Tinggi.
“Antara tema yang diketengahkan termasuk Bayang Kuda, Sawasdee Thai, Unseen Heroin, Adiwira Labah-Labah dan pelbagai lagi,” katanya.

Menurutnya, pertandingan itu turut menawarkan hadiah wang tunai antara RM600 hingga RM1,000 bagi kedua-dua kategori, sementara pasukan juara akan mewakili Kelantan ke Pertandingan Sukan Aerobic Dance Peringkat Kebangsaan.
Program tersebut dianjurkan JBS Kelantan dengan kerjasama Kelab Aerobic Panji (KAP).
IMedikel TV






