Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Persatuan Peranakan Cina Kelantan menggalakkan golongan muda berbangsa Cina agar menyertai persatuan itu dalam usaha memelihara warisan budaya unik mereka supaya generasi akan datang tidak kehilangan identiti.
Penyelaras Bahagian Kebaya, Quek Eng Pian, berkata persatuan tersebut mengamalkan budaya Melayu, Cina dan Siam, serta hanya wujud di Kelantan.
“Peranakan Cina dikenali sebagai ‘Cina Kampung’ atau ‘Cina Siam’ kerana mereka lebih fasih berbahasa Melayu berloghat Kelantan berbanding bahasa ibunda seperti Hokkien.
“Kami menggalakkan lebih ramai anak muda Cina untuk menjadi ahli kerana pada masa kini, kebanyakan mereka menganggap budaya ini tidak lagi penting.
“Saya akui, bukan mudah untuk menarik minat mereka menyertai persatuan ini,” katanya ketika ditemui pada Program Anak Malaysia, 1 Suara, 1000 Warna di Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu, di sini, pada Rabu.
Menurut Quek, situasi itu berlaku kerana ramai anak muda Cina melanjutkan pengajian serta bekerja dan menetap di luar Kelantan.
Jelasnya, persatuan itu sentiasa menjalankan pelbagai program dari semasa ke semasa, termasuk Program Sehari Berkebaya yang diadakan di Galeri Persatuan di Tanah Merah, bagi menarik minat golongan muda untuk menyertai persatuan.
“Galeri ini berunsurkan gabungan tiga elemen seni bina iaitu rumah Melayu, Siam dan Cina Peranakan.
“Peranakan Cina Kelantan mempunyai budaya yang tersendiri dan berbeza dengan kaum Baba Nyonya kerana di Kelantan, gaya hidup, pakaian, makanan, dan pertuturan mereka dipengaruhi oleh budaya Melayu, Cina dan Siam,” katanya.
Tambahnya, Persatuan Peranakan Cina Kelantan terdiri daripada masyarakat keturunan Cina yang telah lama menetap di Kelantan dan menggunakan dialek tempatan seperti loghat Kelantan.
Persatuan tersebut mula ditubuhkan pada 15 Februari 1989 oleh pengasas Cikgu Tan Guat termasuk beberapa pendidik iaitu Cikgu Law Awang dan Lau Ah Awang.
Namun katanya, persatuan itu menjadi lebih aktif bermula pada 2019 hingga kini, dengan jumlah keahlian seramai 2,000 orang.
IMedikel TV




