Home Buletin Semasa KES SYAMSUL HARIS: INKUES DIJALANKAN JIKA ADA KEPERLUAN

KES SYAMSUL HARIS: INKUES DIJALANKAN JIKA ADA KEPERLUAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan siasatan berhubung kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsuddin, masih dijalankan pihak polis.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti segala aspek sebelum Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat sebarang keputusan lanjut.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, kita menunggu laporan bedah siasat (post mortem) yang sedang dilengkapkan pihak polis. Setelah ia diserahkan, kita akan teliti setiap aspek dan jika ada keperluan, kita akan arahkan inkues dijalankan.

“Proses ini sama seperti kes Zara Qairina, prinsip kita jelas, kita mahukan keadilan ditegakkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan supaya prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat kematian anaknya.

Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor pada keesokan harinya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here